Oleh: Norzana Razaly
TUMPAT, 10 Jun – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mengambil inisiatif melaksanakan projek Pembangunan Bandar Sempadan Antarabangsa di Pantai Getting sebagai strategi memperkasa sektor pelancongan negeri, khususnya di kawasan sempadan, selaras dengan matlamat merapatkan jurang pembangunan luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Dato’ Baidzawi Che Mat berkata, inisiatif berimpak tinggi itu bertujuan menjadikan Pantai Geting sebagai hab pelancongan bertaraf antarabangsa yang mampu menjana ekonomi setempat serta membuka peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.
“Pembangunan Geting Integrated Tourism Zone bukan sahaja berperanan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Pantai Geting, bahkan menyuntik peluang ekonomi baharu kepada rakyat setempat. Kami menjangkakan peningkatan ketara dalam sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi setempat sebaik projek ini siap kelak,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa skop pembinaan projek merangkumi bazar produk makanan laut dan kedai makanan dengan enam unit gerai makan dan empat unit kedai cenderamata, menara tinjau, menaik taraf astaka sedia ada dan pembinaan dua unit surau baharu.
Turut dinaik taraf ialah pembinaan semula tiga unit tandas awam, tapak perkhemahan, enam kiosk serbaguna, pintu gerbang utama serta kerja-kerja infrastruktur, landskap dan pencahayaan laluan masuk.
Menurut Dato’ Baidzawi, setakat ini kemajuan fizikal projek telah mencapai 2 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 16 September 2026, selepas pemilikan tapak bermula pada 20 Mac 2025.
“Projek berimpak tinggi ini adalah sebahagian daripada komitmen ECERDC untuk memperkasa pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur menjelang tahun 2030 kerana ia dijangka memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan kepada sepuluh pengusaha makanan dan cenderamata, lapan pengusaha kiosk makanan serta dua operator kemudahan awam,” katanya.
Selain itu, projek berkenaan juga diunjur mencatat peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 30 peratus setahun bermula 2026. Termasuklah peningkatan pendapatan pengusaha pelancongan dan peniaga kecil sehingga 10 peratus setahun.
“Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri dan kerjasama masyarakat setempat, projek ini akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan ekonomi baharu di kawasan Pantai Geting serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan berdaya saing di rantau ini,” ujarnya lagi.
0 Comments