Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Sebanyak 100 vendor Kelantan Coffee Week x Border Coffee Carnival 2025 termasuk penyertaan usahawan muda dari Thailand.
Penganjuran ini bukan sahaja mempromosikan produk kopi tempatan, malah menjadi platform memperkukuh jaringan usahawan belia rentas sempadan. yang mula diperkenalkan tahun lalu.
Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Zameri Mat Nawang berkata, program yang bermula 3 hingga 6 Julai itu bakal menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran.
Katanya program berkenaan mendapat sambutan baik dan menjadi antara platform penting kepada anak muda untuk menjana pendapatan melalui perniagaan kopi.
Menurutnya, kopi bukan sahaja diminati masyarakat tempatan, malah digemari di seluruh dunia, termasuk dalam kalangan rakyat Kelantan.
“Kelantan Coffee Week adalah inisiatif anak muda yang melihat peluang dalam industri kopi dan menjadikannya sumber pendapatan utama atau sampingan,” katanya ketika ditemui di lokasi program, Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, di sini malam kelmarin.
Menurutnya, program itu merupakan kesinambungan daripada penganjuran edisi pertama yang diadakan dari 30 Mei hingga 1 Jun 2024 di Gelanggang Seni.
Ia juga sebahagian daripada pengisian kempen Tahun Melawat Kelantan 2024 dianjurkan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Kotak Seni dan Persatuan Kreatif Kelantan.
“Kita ucapkan tahniah kepada anak-anak muda yang berjaya menjadikan program ini sebagai medan santai dan berniaga, sambil mengangkat budaya minum kopi kepada satu tahap lebih tinggi,” ujar Zameri.
Katanya, program tersebut memberi peluang kepada masyarakat khususnya golongan muda bersantai sambil menikmati kopi daripada pelbagai vendor tempatan.
Tambahnya juga kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha seperti itu selagi ia memberi manfaat dan membina masa depan lebih baik kepada generasi muda.
Hadir sama pada majlis berkenaan Adun Kota Lama, Dr Hafizah Mustakim.
0 Comments