Kedah sasar kutipan hasil tanah RM518 juta pada 2025 menerusi Sistem e-Tanah


LANGKAWI, 6 Julai 2025
– Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan kutipan hasil pentadbiran tanah sebanyak RM518 juta bagi tahun 2025 melalui pelaksanaan Sistem e-Tanah, satu sistem digital bersepadu yang dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan dan kutipan hasil negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata sistem itu dibangunkan melalui kaedah Private Finance Initiative (PFI) dengan kos pembangunan dan penyelenggaraan sebanyak RM122 juta dalam tempoh 14 tahun, ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Saya amat menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, kerana memilih Kedah sebagai negeri kelapan melaksanakan sistem ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Kedah di Hotel Aloft, Langkawi.

Menurut beliau, sistem ini akan menggantikan sistem legasi sedia ada yang berdepan pelbagai kekangan, seterusnya memperkemas prosedur kerja, menjimatkan masa dan kos serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan pemegang taruh.

Sehingga 31 Mei 2025, kutipan hasil tanah negeri telah mencecah RM270.67 juta, manakala bagi tahun 2024, jumlah kutipan keseluruhan ialah RM438.56 juta, menjadikan sektor pentadbiran tanah sebagai penyumbang utama dengan 67 peratus hasil negeri.

Sanusi turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menandatangani Perjanjian Konsesi bagi pelaksanaan sistem tersebut pada 8 Disember 2024, dan ia dijangka mula beroperasi (go-live) seawal November 2026 atau selewat-lewatnya April 2027.

Beliau berharap kolaborasi antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan syarikat pelaksana, Puncak Tegap Sdn. Bhd., dapat memastikan pelaksanaan sistem ini selari dengan Kanun Tanah Negara (KTN) serta peraturan negeri, demi manfaat rakyat dan pembangunan negeri secara keseluruhan.

Post a Comment

0 Comments