Polis bantu Kelantan bebas pengaruh dadah

Oleh Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyifatkan kejayaan polis merampas dadah bernilai hampir RM5.04 juta sebagai usaha membebaskan negeri itu daripada gejala dadah. 

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejayaan tersebut mencerminkan kecekapan pasukan keselamatan bagi melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dadah.


“Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap usaha membanteras dadah. Komitmen kita tidak berbelah bahagi, dan kerjasama erat dengan agensi keselamatan akan diperkukuhkan,” ujarnya pada kenyataan kelmarin. 

Media sebelum ini melaporkan polis berjaya menggagalkan sindiket pengedaran dadah menerusi operasi khas yang dijalankan di Pasir Mas dan Tumpat baru-baru ini.


Serbuan yang dilakukan pada 27 Jun itu berjaya merampas lebih 118,000 biji pil kuda dengan nilai dianggar mencecah RM5.04 juta, hasil siasatan dan risikan rapi yang dijalankan sepanjang tempoh setahun.

Sindiket terbabit dikesan menggunakan taktik jijik dengan menyembunyikan bahan terlarang itu dalam timbunan najis lembu bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan beberapa aset milik suspek telah disita untuk siasatan lanjut.

Dr Fadzli berharap segala usaha itu akan terus diperkasa bagi merealisasikan Kelantan bebas daripada pengaruh dadah serta kerosakan sosial.

Post a Comment

0 Comments