10.514 JUTA PELANCONG JAYAKAN TMK2024, JANA IMPAK EKONOMI RM3.154 BILION

YB Datuk Kamarudin Md Nor,
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 2 Julai – Kelantan terus mencatat kejayaan membanggakan dalam sektor pelancongan apabila Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024) berjaya melepasi sasaran awal 10 juta pelancong.

Rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatat kehadiran seramai 10.514 juta pelancong sepanjang tahun lalu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata kejayaan yang membanggakan itu adalah hasil sokongan padu pelbagai pihak yang berganding bahu menjayakan kempen TMK2024 yang bertemakan konsep 3F: Food, Family and Festival.

"Alhamdulillah, kita bersyukur dengan pencapaian ini. Terima kasih kepada semua pihak termasuk Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi pelancongan, pihak hotel, pemandu pelancong dan seluruh rakyat Kelantan yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong dengan sikap mesra dan peramah," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya lagi, berdasarkan pengiraan konservatif, perbelanjaan purata RM300 seorang pelancong yang telah menyumbang kepada pemain industri pelancongan, nilai kitaran ekonomi mencecah lebih RM3.154 bilion sepanjang tahun lalu.

“Itu belum termasuk sumber pendapatan lain. Patutlah orang Kelantan tidak putus-putus membeli emas sebagai pelaburan," jelasnya.

Tambahnya, usaha bersungguh-sungguh dan pelbagai langkah strategik yang telah diambil bagi menarik kehadiran pelancong termasuk mengadakan rundingan dengan syarikat penerbangan untuk menyediakan penerbangan terus ke Kelantan dari negara jiran seperti Singapura dan China merupakan antara faktor kejayaan tersebut.

Selain itu, perbincangan turut dijalankan bagi menyelaraskan pakej pelancongan ke setiap daerah agar lebih tersusun dan menarik minat pelancong tempatan serta luar negara.

"Kempen keselamatan, kebersihan dan kesihatan turut dipergiatkan bagi meyakinkan para pelancong mengenai suasana Kelantan yang sentiasa selamat, bersih dan kondusif untuk aktiviti pelancongan keluarga," katanya.

Promosi berterusan turut dibuat melalui pelbagai saluran sehingga ke peringkat antarabangsa untuk memperkenalkan Kelantan sebagai gedung kebudayaan dan kesenian Melayu.

Datuk Kamarudin juga yakin program-program ikonik seperti Festival Wau Antarabangsa, Larian Antarabangsa Jambatan Guillemard, Kejohanan Gasing Peringkat ASEAN, serta tarikan semula jadi seperti Train to Dabong, Gunung Stong, Laman Warisan Kampung Laut, menyusuri Sungai Kelantan sehingga ke Pantai Ndo, serta Jeli Eco Tourism Trail kelolaan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan juga menjadi faktor kejayaan TMK2024.

"Kita akan teruskan memberi perkhidmatan mesra pelancong, kadar makanan dan penginapan yang berpatutan, penyelenggaraan lokasi pelancongan yang baik dan selamat agar momentum kejayaan TMK2024 kekal atau lebih cemerlang untuk tahun ini dan TMK2026 pula," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments