Oleh: Asri Hamat
KETEREH, 2 Julai – Penubuhan Goat Milk Collection Centre (GMCC) di Kelantan dilihat sebagai langkah strategik dalam memajukan industri tenusu kambing di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, GMCC diwujudkan sebagai pusat sehenti untuk pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran susu kambing secara sistematik, sekaligus turut membuka peluang kepada penternak kecil memasarkan produk ternakan mereka.
"GMCC bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti dan kebersihan susu kambing menepati piawaian kesihatan dan keselamatan makanan, malah turut menyediakan peluang kepada penternak kecil memasarkan hasil ternakan mereka secara konsisten dan berstruktur.
"GMCC juga berperanan untuk mengumpulkan susu mentah daripada penternak di seluruh Kelantan sebelum diproses mengikut piawaian" Hazard Analysis and Ctirical Control Points" (HACCP) dan halal. Produk hiliran seperti susu kambing pasteur, yogurt, keju kambing, sabun dan kosmetik berasaskan susu turut dibangunkan untuk memenuhi permintaan pasaran."
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Sesi Libat Urus Penternak Kambing Tenusu Kelantan, di Dewan Majlis Daerah Ketereh, pada Selasa.
Kata beliau lagi, penternak kambing susu tempatan memainkan peranan besar sebagai pembekal utama susu segar kepada GMCC dan kilang pemprosesan.
"Hal Ini dapat menyumbang kepada bekalan berterusan susu segar yang berkualiti tinggi di pasaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada susu import," katanya.
Jelasnya lagi, GMCC juga merancang untuk memperluaskan lagi operasi dengan menerapkan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT) dan automasi pemprosesan.
"Dalam masa yang sama, GMCC berpotensi menjadi pusat latihan dan inkubator agrotenusu khusus kepada golongan belia dan wanita, sejajar dengan usaha memperkasakan keusahawanan luar bandar," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan negeri dan Persekutuan akan memberi komitmen berterusan dalam memperkasa sektor agromakanan dan keusahawanan luar bandar.
Hadir sama, Timbalan Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Shaari Mat Hussin, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob dan Pengarah ECERDC Wilayah Kelantan, Megat Shah Rizal Noor Ikhsan.
0 Comments