Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 13 Julai – Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pertanian Malaysia telah menganjurkan Program Agrofood Fest 2025 selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai lalu.
Program yang berlangsung di sebuah pasar raya di Tunjong itu bersempena pelaksanaan Program Galakan Pemasaran Bagi Usahawan Industri Makanan dan Asas Tani di bawah Projek Pembangunan Usahawan Pertanian dan Industri Makanan 2025.
Seramai 28 usahawan asas tani dari sembilan jajahan di seluruh Negeri Kelantan telah terlibat dalam program yang menawarkan pelbagai produk tempatan termasuk minuman, produk sejuk beku, kerepek, pastri seperti kek dan roti, sos, kicap dan banyak lagi.
Jabatan Pertanian Negeri Kelantan menyatakan bahawa program tersebut merupakan satu platform strategik kepada usahawan untuk mempromosikan produk keluaran tempatan, selain membantu mereka memperluas jaringan pasaran serta meningkatkan kemahiran dalam penjualan secara langsung.
"Program ini bertujuan membuka peluang pasaran kepada para usahawan, khususnya mereka yang dibimbing oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.
"Ia juga menjadi medan pendedahan kepada pengunjung mengenai kualiti dan keterjaminan produk tempatan," menurut kenyataan pihak Jabatan Pertanian Negeri Kelantan menerusi satu hantaran di media sosial pada Jumaat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Beliau turut menyeru agar para usahawan tani tidak ketinggalan untuk mempromosikan produk mereka di media sosial.
"Saya menyeru semua usahawan agar terus meningkatkan kualiti produk, perkukuh jenama dan kuasai pasaran digital.
"Zaman sekarang merupakan zaman digital yang membolehkan kita mempromosi serta memasarkan produk kita. Kita jangan ketinggalan untuk menggunakan medium tersebut, di samping mempelajari kaedah-kaedah promosi supaya menjadi lebih menarik," katanya kepada media selepas majlis perasmian program tersebut.
0 Comments