Cawangan PAS di Dun Bunut Payong makin bertambah

Oleh SALMAH MAT HUSAIN


KOTA BHARU: PAS Dun Bunut Payong semakin mantap dengan kewujudan sebuah lagi cawangan baharu iaitu di Lorong Titian Datuk.

Cawangan itu dipengerusi Nik Ali Noordin Sulaiman sebagai ketua penaja. Enam lagi ahli jawatankuasa dilantik.

Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, penubuhan cawangan itu dijangka mampu menggerakkan lebih banyak aktiviti parti di peringkat akar umbi dan menyantuni masyarakat secara langsung di kawasan berkenaan.

Katanya ia secara tidak langsung dapat memperkukuhkan PAS di peringkat akar umbi.

"Penubuhan cawangan tersebut begitu penting dalam usaha mendekati masyarakat kampung, selain menjadi saluran mengenal pasti isu dan permasalahan yang dihadapi mereka," katanya di sini.

Baru-baru ini beliau menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Penaja Cawangan Lorong Titian Datuk di pejabatnya di Pusat Khidmat Dun Bunut Payong.

Shaari juga berkata, walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan segera, namun ia boleh dibincangkan untuk diangkat kepada kerajaan.

Kata beliau, sebarang isu yang tidak dapat diselesaikan di peringkat Dun akan dibawa kepada perhatian pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri atau jabatan kerajaan Persekutuan.

"Kerjasama erat antara cawangan dan penghulu mukim amat penting khususnya berkaitan pembangunan setempat serta isu-isu kebajikan masyarakat," katanya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu.

Post a Comment

0 Comments