Air Terjun Lata Rek selamat untuk pengunjung

YB Hilmi Abdullah,
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan

Oleh: Mohamad Farhan

KOTA DARULNAIM, 22 Julai – Air Terjun Lata Rek adalah selamat untuk digunakan dan tidak pernah ditutup kepada pengunjung.

Demikian kenyataan EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai, YB Mohd Fauzi Abdullah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, perkara ini mungkin berlaku akibat kekurangan pelancong ke kawasan tersebut yang disebabkan oleh faktor kedudukannya yang paling bawah di kawasan Sungai Lebir.

“Bahagian atasnya ada Chatel yang menjadi tumpuan orang ramai, Pasir Puteri, Pasir Raja, Istana Sangkut, Lata Puteri, Lata Tujuh, Lata Y dan Terengganu Mati, itu adalah laluan-laluan air yang menjadi tarikan utama para pengunjung,” tambahnya lagi.

Mengulas aspek keselamatan dan kualiti air, beliau memaklumkan bahawa Majlis Daerah Dabong (MDD) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menjalankan kajian data asas (baseline) kualiti air di kawasan strategik geo-pelancongan Dabong, Kelantan Darulnaim pada tahun 2024.

“Antara Sungai yang terlibat dengan kajian tersebut ialah Sungai Rek, Sungai Gua Ikan, Sungai Kenerong dan Sungai Stong. Hasil kajian persampelan air yang dijalankan mendapati Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Rek pada musim kering berada pada kelas dua iaitu taraf yang selamat airnya diminum selepas dirawat,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata kaedah pemantauan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan (JAS) melalui dua kaedah.

“Kaedah pertama ialah secara manual iaitu melalui aduan atau permintaan berkala orang awam dengan membuat persampelan air.

Manakala kaedah kedua adalah melalui pengawasan automatik di stesen-stesen kawalan air. Kelantan terdiri daripada lima sungai utama iaitu Sungai Golok, Sungai Kelantan, Sungai Kemasin, Sungai Pengkalan Chepa dan Sungai Pengkalan Datu. Sungai-sungai ini dipantau secara berkala oleh pihak JAS,” ujarnya.

Menurutnya lagi, hasil laporan 2012, 2013, 2014, semua sungai ini diklasifikasi sebagai kelas dua iaitu selamat untuk digunakan dan diminum selepas rawatan air kecuali Sungai Pengkalan Chepa yang berada pada kelas tiga iaitu sedikit tercemar dan untuk pengiaran serta pertanian sahaja.

Post a Comment

0 Comments