Oleh Fathi Yusoff Ajami
MACHANG, 22 Julai 2025 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas kejayaan melahirkan seramai 5,370 orang huffaz menerusi institusi pendidikan tahfiz di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK). Ketua Pemudanya, Ahmad Fakhrurrazi bin Yahaya menyatakan bahawa kejayaan ini adalah manifestasi kepada visi luar biasa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mencetuskan idea mengintegrasikan pengajian tahfiz dengan sistem pendidikan kebangsaan — satu pendekatan yang dianggap mendahului zaman.
“Segalanya bermula dengan penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong di Jajahan Machang pada tahun 1992. Institusi ini menjadi pelopor dan inspirasi kepada penubuhan maahad tahfiz integrasi lain, bukan sahaja di Kelantan, malah di seluruh negara,” katanya.
Kini, maahad-maahad tahfiz YIK menawarkan pelbagai aliran seperti Tahfiz & Sains, Tahfiz & Sastera, Tahfiz & TVET, serta Tahfiz & Turath, selari dengan keperluan semasa dan aspirasi pendidikan negara.
Menurut beliau, kejayaan model Kelantan ini turut mendorong institusi pendidikan Persekutuan seperti SMKA, MRSM, SBPI dan SMK untuk memperkenalkan Kelas Aliran Tahfiz (KAT) sebagai salah satu pilihan utama pendidikan Islam.
“Sekolah-sekolah tahfiz kini menjadi destinasi pilihan ibu bapa untuk anak-anak cemerlang — bukan sahaja untuk menghafal al-Quran, tetapi juga berjaya dalam akademik dan sahsiah. Ini adalah pelaburan besar untuk masa depan ummah,” ujar Fakhrurrazi lagi.
Beliau berharap agar kesinambungan pendidikan tahfiz ini akan terus melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja faqih dalam ilmu agama, tetapi turut berperanan membimbing masyarakat menuju petunjuk al-Quran.
“Kejayaan ini bermula dengan satu inspirasi dan langkah berani yang ‘out of the box’ oleh kerajaan negeri. Kini, ia menjadi cahaya yang menyinari seluruh negara,” katanya.
0 Comments