Anugerah khas menanti penggerak kebajikan masyarakat

 


SALMAH MAT HUSAIN 

KOTA BHARU: Penggerak aktiviti kebajikan dalam masyarakat di Kelantan bakal menerima anugerah daripada kerajaan negeri pada akhir bulan ini.


Enam individu dan pertubuhan akan menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Kebajikan Negeri Kelantan sempena Karnival Kelantanku Cakna 2025.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Rohani Ibrahim, berkata penganugerahan itu merupakan satu penghormatan tinggi kerajaan negeri kepada pihak terbabit.


Katanya, mereka banyak menyumbang secara langsung kepada pembentukan masyarakat serta keluarga.


“Pemberian anugerah tersebut sebagai usaha menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri untuk mengiktiraf jasa, sumbangan dan ketokohan mereka memperjuangkan isu-isu kebajikan rakyat.


“Saya sangat mengalu-alukan pencalonan daripada semua pihak untuk anugerah terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.


Enam Anugerah tersebut iaitu Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (OKU), Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Armalah) dan Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Anak Yatim)


Selain itu Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Warga Emas), Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Asnaf Miskin) dan Tokoh Cakna Kebajikan (NGO).


Majlis penyampaian anugerah berprestij itu akan diadakan selama empat hari bermula 29 Julai hingga 1 Ogos di perkarangan Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu.


Turut dianjurkan pameran dan jualan produk tempatan melibatkan agensi negeri dan persekutuan, perkhidmatan bayaran saman Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan polis, pemeriksaan kesihatan, pergigian, saringan kanser serta pelbagai lagi.


Antara pengisian utama Karnival Perkhidmatan Kebajikan, Konvoi Cakna Rakyat, Senamrobik Keluarga, Dapur Cakna, Pertandingan Memasak Tradisional, Sembang Wanita, Demo Keselamatan Keluarga, Kembara Cakna Siti Wan Kembang serta program khas untuk golongan asnaf. 


Program itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), NGO serta swasta.


Karnival tersebut dijangka akan dirasmikan Speaker Dewan Negeri Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah.


Rohani juga berkata, karnival anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita itu bertujuan memperkukuhkan kesejahteraan sosial dan kebajikan rakyat.


Di samping itu menyemarakkan dasar-dasar kerajaan serta memperluas pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan keluarga dan wanita.


“Karnival tersebut akan menyerlahkan lagi tema ‘Kelantan Negeri Berkebajikan’, selain menjadi wadah merakyatkan pelbagai bentuk bantuan serta perkhidmatan kepada rakyat.

Post a Comment

0 Comments