Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kelantan menghadapi pelbagai kekangan berpunca daripada sikap kerajaan Persekutuan, yang mana sebelum ini sering menafikan hak dan peruntukan sewajarnya kepada negeri itu.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, lebih tiga dekad mentadbir Kelantan, kerajaan negeri di bawah PAS tidak pernah leka merancang dan menggerakkan agenda pembangunan.
Namun katanya, banyak cadangan dan projek berskala besar dinafikan kerajaan Pusat.
"Kelantan satu-satunya negeri yang sehingga kini tidak memiliki lebuh raya bertol seperti di negeri-negeri lain. Projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Kota Bharu - Kuala Krai hanyalah naik taraf jalan persekutuan, bukan lebuh raya sebenar," katanya di sini.
Menurutnya juga setiap kali Rancangan Malaysia dibentangkan, cadangan projek yang lengkap dengan pelan dan justifikasi dikemuka kerajaan negeri, namun tidak mendapat kelulusan dengan alasan tiada peruntukan.
Katanya juga pelabur luar dan dalam negara pernah menyuarakan hasrat untuk melabur di Kelantan, namun terpaksa berundur kerana berdepan kesukaran mendapatkan kelulusan kerajaan pusat dan pinjaman bank.
Malah beliau berkata, ketika Almarhum Tok Guru Nik Aziz mengumumkan pembinaan Lebuh Raya Rakyat, barulah kerajaan pusat meluluskan projek yang sekian lama dimohon kerajaan negeri.
Sedangkan katanya tanggungjawab membina lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri.
"Ketika Perikatan Nasional mentadbir Putrajaya, pembangunan di Kelantan makin pesat termasuk projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembukaan LTU secara berperingkat dan cadangan pembangunan pelabuhan.
"Jika semangat federalisme terus dipelihara, Kelantan bakal melakar kebangkitan luar biasa dengan acuan tersendiri," ujarnya.
Kata beliau pembangunan Gua Musang sebagai bukti kejayaan kerajaan negeri dalam merancang pembangunan setempat.
0 Comments