Berfikir dua kali kalau ada urusan di Pengkalan Chepa

Oleh A RAHMAN HARUN


BACHOK: Kesesakan lalu lintas penduduk jajahan ini untuk ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan Kota Bharu dijangka dapat diatasi dengan siap jambatan menghubungkan Kampung Pantai Senok dan Kampung Pulau Gajah.

Jambatan baharu sepanjang 1.2 kilometer dijangka siap awal tahun 2027 mampu memendekkan perjalanan dari Bachok ke Pengkalan Chepa.

Sekarang penduduk di kedua-dua kampung tersebut dipisahkan Sungai Pengkalan Datu yang menjadi sempadan antara Bachok dan Kota Bharu.

Halangan sungai menyebabkan penduduk terpaksa melalui jalan yang jauh, di mana sering berlaku kesesakan di persimpangan Jalan Raja Sakti, Jalan Padang Tembak serta Jalan Tawang berhampiran Pulau Melaka, Kota Jembal dan Panji.

Hilmi

Seorang penduduk, Hilmi Abdul Ghani, 61, berkata beliau terpaksa berfikir dua kali sekiranya ada urusan di Kota Bharu atau Pengkalan Chepa.

"Saya gembira kerana projek pembinaan jambatan ini akan memberi kemudahan kepada rakyat. Kawasan ini terkenal dengan aktiviti nelayan dan pelancongan.

"Dengan adanya jambatan baharu kelak saya berharap pembangunan sektor pelancongan dan perikanan semakin rancak," katanya ketika ditemui di sini.

Penduduk Kampung Cherang Laut, Nor Hayati Che Lah, 43, berkata projek tersebut bakal memberi manfaat yang besar kepada penduduk sekitar Dun Tawang dan sebahagian Kota Bharu.

"Kalau nak pergi ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, ambil masa sejam, kalau nak flight jam 7 pagi kita akan turun dari rumah sebelum Subuh.

"Jadi dengan ada jambatan nanti, ok lah sebab dapat direct ke jalan Sabak dan terus ke LTSIP, masa pun jadi lebih pendek berbanding sebelum ini," katanya.

Hizuwan

Mohd Hizuwan Azmi, 32, memberitahu antara sektor yang dapat manfaat ialah pelancongan kerana Bachok mempunyai banyak lokasi yang menarik.

Beliau berkata, pelancong tempatan dan antarabangsa boleh menikmati keindahan sepanjang pesisir pantai di Bachok.

"Saya yakin apabila jambatan ini siap kelak, sektor pelancongan akan mendapat manfaat paling besar dan sosioekonomi penduduk pun meningkat," katanya.

Post a Comment

0 Comments