Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM , 6 Julai – Pengangkutan awam di Kelantan kini menerima suntikan baharu menerusi pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST), lebih dikenali sebagai “Bas Pink” yang diperkenalkan untuk mengembalikan peranan penting bas dalam kehidupan rakyat negeri ini.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Hussein berkata, perkhidmatan bas pernah menjadi nadi utama pergerakan rakyat Kelantan untuk ke sekolah, ke bandar, malah merentas negeri.
Namun, kemajuan teknologi dan peningkatan pemilikan kenderaan persendirian telah menyebabkan penggunaan bas semakin dilupakan.
“Kereta sekarang makin banyak dengan harga makin mampu milik, manakala jalan pula makin sesak. Namun usaha kerajaan tak pernah berhenti.
"Melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat E-Mutiara, Bas Pink diperkenalkan sebagai perkhidmatan moden, mesra rakyat dan berdaya saing," katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, hari ini.
Katanya lagi, perkhidmatan bas tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri seperti sistem bayaran pelbagai kaedah seperti tunai, kad dan e-wallet, kemudahan mesra OKU, pas tanpa had, serta sokongan aplikasi dan laman web yang sedang dibangunkan.
"Bas Pink akan beroperasi di 16 laluan utama di seluruh negeri termasuk Kota Bharu ke Lapangan Terbang, UiTM Machang dan Pengkalan Kubor dan banyak lagi dengan kekerapan antara 30 hingga 60 minit, menjadikannya sesuai untuk ke tempat kerja, kuliah dan urusan harian,"jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang menjayakan inisiatif tersebut dan menyeru rakyat Kelantan agar memberi peluang kepada perkhidmatan berkenaan.
“Guna dan sokonglah pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, jimat belanja, dan lebih lestari,"ujarnya.
Terdahulu, YB Dato' Dr. Izani menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Bahagian Perancangan Polisi Mod Jalan APAD, Shahreel Riza Idris, di pejabatnya di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada Rabu.
Dalam kunjungan hormat tersebut, Shahreel telah menerangkan tentang pelaksanaan perkhidmatan BAS.MY Kota Bharu, termasuk penggunaan kenderaan elektrik (EV), bas mini yang lebih sesuai dengan keadaan jalan dan permintaan di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Beliau turut memaklumkan mengenai cadangan pertambahan laluan baharu yang akan menghubungkan kawasan berpenduduk padat serta institusi penting di sekitar Kota Bharu dan jajahan berhampiran.
Turut serta dalam kunjungan hormat tersebut ialah, Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Saizol Ismail, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Polisi Mod Jalan APAD, Nur Sufiah Abdul Razak, pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) serta pegawai-pegawai dari Konsortium E-Mutiara Berhad.
0 Comments