Kerjasama bidang budaya SG4 diperluas ke Selatan Thailand

Oleh SALMAH MAT HUSAIN


KOTA BHARU: Kerjasama empat kerajaan negeri (SG4) berkaitan bidang kebudayaan boleh diperluaskan sehingga ke wilayah Selatan Thailand.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, program seumpama itu boleh dilaksanakan secara berkala supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama.

Katanya dengan perancangan rapi membolehkan kerjasama lebih erat boleh dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi, kebudayaan dan pelancongan serantau.

"Diharap lebih ramai rakyat dari wilayah Selatan Thai dapat menjalin hubungan erat dengan negeri-negeri di Pantai Timur dan SG4.

"Kelantan terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisional dan kuih-muih warisan yang menjadi tarikan pelancong dari dalam serta luar negara.

"Saya berharap hubungan persaudaraan dapat diperkukuh dan diperluaskan kerana kita saudara seagama, sebudaya dan serumpun," katanya pada majlis Makan Malam Bersama Penggiat Pelancongan Kelantan-Terengganu di Gelanggang Seni baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Dato' Kamaruddin Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Dato' Razali Idris.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Dato' Wan Roslan Wan Hamat serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Dato’ Satiful Bahari Mamat.

Sempena program itu Kelantan mempersembahkan dikir barat dan nyanyian oleh Megat Haiqal.

Mohd Nassuruddin juga berkata, Kelantan sebuah negeri yang kaya dengan budaya, warisan dan nilai persaudaraan yang memberi peluang rakyat mencari rezeki dalam pelbagai bidang.

Menurutnya juga dalam konteks SG4, Kelantan dan Terengganu berada dalam satu rumpun yang berkongsi sejarah, agama dan adat yang sama.



"Negeri ini bukan sahaja subur dalam bidang ekonomi dan pertanian, malah turut menonjol dalam aspek kebudayaan dan pelancongan," katanya.

Sebelum itu rombongan kerajaan Terengganu diketuai Menteri Besar Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan dengan motosikal kira-kira jam 2.15 petang.

Mereka kemudian meneruskan destinasi ke Kedah dan seterusnya Perlis bagi mengeratkan hubungan dengan negeri-negeri SG4.

Post a Comment

0 Comments