DBPWT Pelawa Geng Motor Dekati Sastera


Oleh: Norzana Razaly

BACHOK, 5 Julai – Sastera ialah hak milik umum yang harus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Atas dasar itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) membuka ruang kepada komuniti kelab permotoran mendekati dunia sastera melalui program Kuca Suro Kasih Saye sempena Perkampungan Penulis Wilayah Timur di Sudara Beach Resort, di sini, hari ini.

Program selama tiga hari dua malam bermula pada 3 hingga 5 Julai itu menyaksikan Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKNK) dan Wira Malaysia Club Motorsports (WMCM) berganding bahu mengacau tiga kawah bubur Asyura untuk diagihkan kepada peserta dan tetamu kehormat, Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari.

Beliau berpeluang menikmati sajian tradisi itu secara tradisional di dalam tempurung kelapa dan sudu daun nanas.


Acara Kuca Sugho Kasih Saye itu diketuai oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Penulis Kelantan (PPK) Abdul Hadi Yusof dibantu oleh 30 sukarelawan dari GKNK dan WMCM yang diketuai oleh Pengerusi GKNK Wan Mohd Azley Wan Mohamad. bergotong royong menyediakan bubur asyura seawal pukul 6.00 pagi.

Program itu turut melibatkan 40 pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu.

Pengarah DBPWT Ariza Che Ismail, berkata penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) di luar kelompok penulis merupakan usaha mendekatkan masyarakat umum dengan keindahan dan ilmu sastera.

"Insya-Allah, suatu hari nanti mungkin ada dalam kalangan mereka yang hadir ini bakal muncul sebagai penulis pula," katanya dalam ucapan alu-aluan Majlis Perasmian Penutupan program tersebut.

Sepanjang Perkampungan Penulis Wilayah Timur berkenaan, sebanyak 19 makalah ilmiah dibentangkan oleh sarjana dan penggiat sastera.
Pengarah DBPWT Ariza Che Ismail

Sementara itu, acara Ttewah Pantun Penulis Timur yang disertai oleh gabungan persatuan-persatuan penulis Kelantan dan Terengganu yang menjadi tarikan hadirin sebagai medan rehat minda selepas sesi diskusi ilmiah.

Pasukan Rebab Berbisik menjuarai acara tersebut manakala gelaran Pemantun Terbaik disandang oleh sasterawan mapan Awang Abdullah yang mewakili Kumpulan Seruling Gembala.

Majlis penutupan Perkampungan Penulis Wilayah Timur disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, merangkap Pengasas Penerbitan Kata Pilar Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua peserta, pembentang dan peminat sastera atas semangat mendukung sastera sebagai warisan bangsa.

Ahli Lembaga Pengelola DBP Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy





Post a Comment

0 Comments