Oleh: Asri Hamat
TANAH MERAH, 5 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmennya untuk terus meraikan semua segmen kehidupan termasuklah institusi seni, hiburan dan perfileman, selaras dengan dasar pentadbiran negeri iaitu Membangun Bersama Islam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, hiburan dan kesenian adalah sebahagian daripada elemen dalam Islam yang tidak boleh dipisahkan.
“Juzuk daripada kesenian, hiburan merupakan satu juzuk daripada juzuk-juzuk Islam yang tidak terpisah. Kerajaan Negeri Kelantan menggabungjalinkan semua hal ehwal agama dan kehidupan untuk dibawa ke dalam pentadbiran kerajaan negeri tanpa menyisihkan perkara-perkara yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bicara Selebriti Siri 2.0 anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah, pada Jumaat.
Menurut beliau, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2025 yang telah diluluskan pada Sidang Dewan Negeri Kelantan tahun lalu, kini telah mula dikuatkuasakan bermula Januari tahun ini. Enakmen baharu ini menggantikan enakmen terdahulu dengan beberapa penambahbaikan penting.
“Dalam enakmen baharu ini, kita membenarkan rakyat berhibur tetapi masih tertakluk kepada pekeliling, prasyarat tema dan lain-lain supaya negeri ini kekal baik dan harmoni. Contohnya, seperti program Jom Heboh 2023 di Kelantan yang memerlukan pengasingan tempat duduk lelaki, perempuan, dan keluarga serta disediakan ruang solat.
“Lagu-lagu yang hendak dipersembahkan juga turut disemak supaya tidak bercanggah dengan Syariat, seperti lagu cinta melampau dan seumpamanya,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, enakmen baharu turut membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penganjur program hiburan yang melanggar peraturan walaupun kesalahan hanya diketahui selepas program berlangsung.
“Jika program itu tular seminggu selepas diadakan sekalipun, tindakan tetap boleh diambil. Kompaun maksimum sehingga RM150,000, penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.
“Berbeza dengan enakmen terdahulu yang menghadkan tindakan hanya boleh diambil semasa program berlangsung. Kita perketat peraturan ini supaya tidak ada lagi penganjuran program yang melanggar syariat dan peraturan negeri,” tegasnya.
Mengulas mengenai program Bicara Selebriti, YB Mohd Asri menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi ruang kepada golongan selebriti untuk menyampaikan pandangan mereka selaras dengan Islam.
“Melalui program ini, kita akan buat giliran para selebriti untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka. Sebelum ini, kita telah bawakan Sabri Yunus dan Angeline Tan (Ardini) untuk siri 1.0, dan bagi siri 2.0 kali ini, kita jemput Syed Aiman dan Linda Rafar.
“Siri akan datang, kita akan jemput selebriti lain mungkin Alif Satar, Eman Manan dan lain-lain dan tidak semestinya anak jati Kelantan untuk mereka boleh melontarkan pandangan mereka sebagai insan seni yang diraikan,” katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Panau YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood, ADN Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor, Pengarah UPKN Razuan Awang Hamad serta mantan Pengarah UPKN Wan Yusof Wan Mustafa.
0 Comments