KUALA LUMPUR, 8 Julai 2025 – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menyifatkan tindakan sembilan ahli parlimen PKR yang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kehakiman sebagai langkah berisiko tinggi yang boleh menggugat kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perdana menteri dan presiden parti.
Menurut Hassan, tuntutan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa sembilan wakil rakyat berkenaan – diketuai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli – telah hilang kepercayaan terhadap Anwar dalam isu pelantikan hakim yang berada di bawah kuasa eksekutif.
“Jika RCI ditubuhkan, Anwar sendiri bakal menjadi suspek utama yang perlu disiasat. Ini meletakkan beliau dalam kedudukan yang amat bahaya, seolah-olah meletakkan tengkuk di bawah guillotine,” kata Hassan.
Beliau mengakui bahawa isu kehakiman yang dibangkitkan adalah sah dan penting, namun persoalannya adakah kesemua MP terbabit bersedia menanggung akibat politik jika Anwar tumbang akibat desakan mereka sendiri.
Tambah Hassan, tindakan itu dilihat sebagai bentuk pemberontakan dalaman dalam PKR yang belum pernah berlaku sebelum ini, dan menunjukkan semakin ramai dalam parti sudah hilang sabar serta kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.
“Dari segi demokrasi parlimen, tindakan itu progresif. Tapi dari sudut parti, ia isyarat revolt secara langsung terhadap Anwar,” ujarnya.
Walaupun kritikal, Hassan menyatakan bahawa beliau kekal menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan menyeru agar isu itu ditangani dengan bijaksana setibanya Anwar dari lawatan luar negara.
0 Comments