KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam sebulat suara meluluskan usul mengecam serangan ketenteraan rejim Zionis Israel ke atas Iran yang disifatkan sebagai tindakan kejam dan pencabulan kedaulatan.
Usul yang dibentangkan ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim, menyifatkan serangan itu sebagai bentuk pencerobohan nyata di luar wilayah Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Serangan ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan Asia Barat, tetapi membuka ruang kepada campur tangan kuasa luar demi agenda geopolitik mereka,” katanya.
Ridzuan turut menyifatkan tindakan Israel sebagai penghinaan terhadap umat Islam dan satu bentuk penjajahan moden yang semakin berani dan biadab.
Beliau menyeru umat Islam bersolidariti menolak keganasan negara (state terrorism) serta mengutuk sebarang usaha perpecahan melalui konflik proksi dan adu domba mazhab atau etnik.
“Penubuhan Israel sendiri adalah projek penjajahan Barat untuk mengawal sumber strategik dan menekan dunia Islam,” katanya lagi.
Kerajaan Negeri Terengganu melalui SG4 turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan menyeru usaha diplomasi serta kesedaran awam diteruskan menerusi NGO dan saluran antarabangsa.
Beliau turut menggesa Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian tegas di peringkat ASEAN, OIC dan PBB serta mendesak tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.
“OIC juga mesti segera bersidang dan mengeluarkan resolusi bersama yang tegas, termasuk langkah diplomatik dan ekonomi ke atas Israel.”
Beliau menutup usul dengan menyeru negara-negara Islam agar bersatu menolak campur tangan asing yang melemahkan kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan umat Islam.
0 Comments