Oleh Aslani M
KUALA KRAI: Hampir tiga tahun kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menafikan peruntukan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang.
Sedangkan kata Ahli Parlimen Kuala Krai perkara itu jelas tertulis dalam janji manifesto Pakatan Harapan Pilihan Raya Umum (PRU) 15 untuk memberi peruntukan sama rata.Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, ketika isu itu dibangkitkan pembangkang di Dewan Rakyat, kerajaan mencipta syarat baru pula iaitu perlu ada perjanjian.
“Ini bukan reformasi, tetapi nasi basi. Sebaliknya Adun-Adun pembangkang di Kelantan diberi peruntukan di bawah Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) sama seperti penyokong kerajaan.
“Peruntukan yang diberikan itu tanpa ada sebarang janji atau terkandung dalam manifesto pilihan raya,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Menurutnya juga wakil rakyat pembangkang di Kelantan turut dijemput ketika lawatan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud beliau ke Gua Musang baru-baru ini.
Kata beliau pendekatan tersebut sepatutnya turut dilaksanakan kerajaan Pusat dengan mengundang pembangkang ketika lawatan menteri ke Kelantan.
Katanya Ahli-ahli Parlimen pembangkang sewajarnya diundang dalam apa sahaja lawatan menteri di kawasan mereka.
“Tak rugi pun, bahkan untung lagi di sebelah kerajaan dan menampakkan kerajaan Madani inklusif dan berjiwa besar.
“Begitu juga dalam hubungan dengan jabatan atau agensi pusat didapati ada jabatan dan agensi pusat yang takut-takut apabila berurusan dengan Ahli Parlimen pembangkang, khususnya melibatkan sekolah,” ujarnya.
Abdul Latiff juga berkata, pihaknya banyak menerima permohonan sumbangan daripada sekolah di Kuala Krai untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.
“Kami layan setakat termampu walaupun tanpa peruntukan, tetapi pemberian secara senyap, jika tersebar gambar pihak pengurusan sekolah berdepan dengan tindakan.
“Ada undangan bukan untuk berucap pun, tapi makan-makan sahaja termasuk program hari raya, jamuan kesyukuran, kutipan derma mengisi tabung dan sebagainya. Apa nak takut sangat,” ujarnya.
0 Comments