SALMAH MAT HUSAIN
TUMPAT: Peniaga makanan perlu memastikan premis perniagaan mereka sentiasa bersih bagi menarik perhatian pelanggan.
Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, sekiranya didapati kedai kotor sudah tentu pelanggan tidak singgah awal-awal lagi.
Katanya, ia sudah tentu akan menjejaskan pendapatan peniaga terbabit kerana sikap tidak mengutamakan kebersihan.
“Oleh itu setiap peniaga makanan hendaklah berusaha meningkatkan tahap kebersihan, misalnya dari gred B ke A bagi memastikan keyakinan pelanggan dan kesihatan terus terjamin.
“Bagi premis makanan yang berada di tahap B tidak seharusnya berpuas hati, sebaliknya perlu menyasarkan bagi mencapai gred A,” katanya selepas merasmikan Program Komuniti Bandar Wakaf Bharu Sihat dan Ceria (Gotong Royong Kebersihan) anjuran Majlis Daerah Tumpat (MDT) di sini semalam.
Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat sentiasa turun padang memantau kedai-kedai makan bagi memastikan syarat-syarat kebersihan dipatuhi.
Manakala premis yang gagal mematuhi standard akan dikenakan tindakan dan perlu melakukan penambahbaikan sebelum dibenarkan beroperasi semula.
Pasar Wakaf Bharu dipilih sebagai lokasi penganjuran Program Komuniti Bandar Wakaf Bharu Sihat.
Program itu melibatkan penyertaan sukarelawan, penghulu, peserta Ladang Rakyat, NGO dan penduduk setempat yang berganding bahu membersihkan pasar.
Mohd Rusli turut mencadangkan kempen seperti Kampungku Bersih, Rumahku Bersih diperkenalkan untuk memupuk kesedaran menjaga kebersihan bermula dari rumah.
“Kita mengutamakan kebersihan untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan penyakit berjangkit yang berpunca daripada makanan tidak bersih,” katanya.
0 Comments