IPOH – Himpunan mega yang berlangsung di ibu negara petang semalam memperlihatkan isyarat awal penolakan terhadap kerajaan Madani oleh sebahagian rakyat.
Kegagalan kerajaan memenuhi janji-janji yang pernah dilaungkan ketika berada di pihak pembangkang dilihat antara faktor utama yang menyebabkan ketidakpuasan rakyat semakin memuncak.
Puluhan ribu peserta dilaporkan berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyuarakan keresahan mereka terhadap peningkatan kos sara hidup serta pelaksanaan pelbagai bentuk cukai baharu.
Pakar psikososial, Dr. Zulkeflee Yaacob berkata, penyertaan besar rakyat yang sanggup berhujan semata-mata untuk melaungkan slogan seperti “Turun Anwar, Hidup Rakyat” memberi petunjuk jelas bahawa populariti kerajaan Madani semakin terhakis.
“Ini adalah himpunan terbesar sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Ia mencerminkan keberanian rakyat untuk menyatakan pandangan secara terbuka,” katanya.
Beliau turut menyebut penyertaan tokoh veteran, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam protes berkenaan menunjukkan tahap keresahan rakyat terhadap isu kos sara hidup, pemotongan subsidi, dan kegagalan menunaikan janji reformasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengumuman bantuan tunai RM100 kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas, yang hanya boleh dibelanjakan di rangkaian pasaraya tertentu seperti Speed 99, KK Mart, Lotus’s, Mydin dan Econsave, turut menimbulkan persoalan berhubung amalan kronisme.
0 Comments