KOTA BHARU, 27 Julai 2025 – Usaha melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berwibawa di Kelantan terus diperhebat apabila delegasi Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) mengadakan perbincangan strategik bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Fadzli Hassan, semalam.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada hala tuju pembangunan model kepimpinan belia negeri yang berteraskan prinsip Al-Qawiyyul Amiin – pemimpin yang berkeupayaan (qawiyy) dan berintegriti (amin). KFLI membentangkan beberapa inisiatif utama dalam memperkukuh peranan anak muda dalam dasar dan tadbir urus negeri.
Dalam perbincangan itu, YB Dato’ Dr Fadzli turut menekankan betapa pentingnya memberi kefahaman yang jelas kepada golongan muda mengenai visi pembangunan negeri Kelantan, khususnya menerusi kerangka Kelantan Future State: Kelantan Sejahtera 2033.
“Anak muda mesti memahami hala tuju negeri secara menyeluruh. Kelantan Sejahtera 2033 ialah dokumen panduan strategik pembangunan negeri yang merangkumi aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan kelestarian – satu pelan yang memerlukan dukungan aktif daripada generasi muda,” ujar beliau.
Menurut beliau, penyertaan anak muda dalam dialog dasar dan pembangunan negeri adalah elemen penting bagi memastikan pelaksanaan dasar kekal inklusif, relevan dan berdaya tahan.
Delegasi KFLI diketuai oleh YB Zamakhshari Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan yang juga bertindak sebagai Penasihat institusi tersebut. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mendokong pembangunan bakat dan kepimpinan generasi muda secara berstruktur dan berwawasan.
KFLI terus komited sebagai platform pembangunan pemimpin muda Kelantan yang berintegriti, idealis dan berkemahiran, dengan menjadikan nilai Islam dan aspirasi kenegaraan sebagai asas utama.
Untuk makluman Kelantan Future Leader Academy akan diadakan di Tiara Beach Resort pada 6 hingga 9 Ogos 2025.
0 Comments