Usaha yang dilakukan Jabatan Perikanan Malaysia itu bagi memperkukuhkan usaha pemuliharaan sumber marin.
Tahun ini sebanyak 12 unit tukun telah dilabuhkan. Sebanyak RM1.68 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program tukun tiruan di Kelantan tahun ini.
Peruntukan tersebut merangkumi pelabuhan tukun di Tok Bali (RM200,000), Sungai Gali (RM200,000) serta inisiatif khas Ecological Fiscal Transfer (EFT) RM1.28 juta disalur kerajaan Kelantan.
Sejak tahun 2007, sebanyak 312 unit tukun tiruan pelbagai jenis dilabuhkan di perairan Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.26 juta.
Antara jenis tukun yang digunakan termasuk Tukun Dasar Lembut (TDL), Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT), tukun rekreasi dan tukun keluli.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Azahari Othman berkata, pelaksanaan tukun tiruan dapat meningkatkan hasil perikanan tempatan, melindungi habitat marin daripada ancaman aktiviti penangkapan haram dan perubahan iklim.
“Ia adalah pelaburan strategik jangka panjang demi menjamin sekuriti makanan negara dan kelestarian sumber laut,” katanya pada kenyataan.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, timbalannya Dato' Shaari Mat Hussain, Adun Semerak Nor Sham Sulaiman dan Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Husin.
Program tukun turut menyokong pembangunan agro-pelancongan, aktiviti penyelidikan saintifik serta menjadi pemangkin kepada ekonomi komuniti pesisir pantai.
0 Comments