Oleh: Salmah Mat Husain


 KOTA BHARU: Jabatan Amal Malaysia (JAM) bukan sahaja unggul dalam bidang kesukarelawanan dan keselamatan, malah turut melaksanakan program pembangunan belia sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, anggota JAM berdisiplin ketika menjalankan tugas dan sekarang menterjemahkan pula dalam bidang sukan.


"Inilah sebenar sikap anak-anak Kelantan yang berdisiplin, berakhlak, beriman dan beramal," katanya ketika merasmikan Sukan Jabatan Amal Malaysia Kelantan (SUKMAL) 2.0 di Padang Majlis Daerah Ketereh, di sini semalam.

Sebanyak enam acara sukan dipertandingkan iaitu sepak takraw, badminton, bola tampar, memanah tradisional, bidah (melastik) dan tendangan penalti.

Turut hadir Timbalan Pengarah 1 Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan (JAMNK), Mohd Arif Zakaria.

Program tersebut menghimpunkan anggota JAM dari seluruh jajahan di Kelantan. Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Mohd Firdaus Mohamed Nawi. 

Zamakhshari juga berkata, usaha JAM Kelantan mampu mengangkat potensi belia melalui kegiatan sukan.

Menurut Mohd Arif SUKMAL menjadi medan penting untuk membina semangat kebersamaan serta melatih daya tahan mental dan fizikal anggota JAM.

Oleh itu beliau berharap program seperti itu dapat diperluas ke peringkat kawasan sebagai salah satu bentuk tarbiah sihat dan aktif untuk anak-anak muda.



Sementara itu pasukan JAM Kuala Krai dinobatkan sebagai johan keseluruhan SUKMAL 2.0.