Luahan 60 jurulatih 22 jenis sukan didengari - Exco Sukan


Oleh: Norzana Razaly

TERENGGANU, 7 Julai – Komitmen Kerajaan Negeri Kelantan untuk memperkukuh mutu sukan negeri diterjemahkan melalui sesi townhall bersama lebih 60 jurulatih yang mewakili 22 jenis sukan dalam satu pertemuan terbuka anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN).

Sesi townhall itu diadakan bersempena Bengkel Kejurulatihan Sukan Negeri Kelantan selama tiga hari dua malam di Tanjong Demong Resort, Besut, pada Ahad.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, sesi tersebut memberi ruang kepada para jurulatih untuk meluahkan isu berbangkit, cabaran lapangan serta berkongsi idea bagi meningkatkan prestasi atlet.

"Dah lama sebenarnya saya ingin bertemu dengan para jurulatih atlet sukan ini. Alhamdulillah, hari ini baru ada peluang. Kita buat sesi townhall terus supaya semua dapat utarakan apa yang terbuku di hati," katanya menerusi hantaran di laman sosial, hari ini.




Beliau menegaskan, para jurulatih adalah individu paling dekat dengan atlet serta memahami realiti sebenar di gelanggang dan lapangan, justeru segala pandangan mereka diberi perhatian sewajarnya.

"Saya mendengar sendiri dan memberi perhatian penuh kepada setiap isu dan idea yang dikemukakan. Kita juga sedar kedudukan kita dalam arena sukan dan segala keterbatasan yang ada. Namun, itu bukan menjadi penghalang untuk kita terus berusaha meningkatkan mutu sukan di Kelantan," jelasnya.

Tambahnya, sesi townhall itu juga adalah bukti sokongan berterusan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap pembangunan bakat sukan serta persiapan rapi menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

"Bengkel ini bukan sahaja bertujuan menambah ilmu dan kemahiran kejurulatihan, malah menjadi platform penting memperkukuh hubungan, persefahaman dan kerjasama antara kerajaan dengan barisan jurulatih," katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MSN Kelantan atas penganjuran bengkel tersebut yang dilihat berjaya mempertemukan barisan jurulatih dengan pemimpin suka dan atlet negeri Kelantan.




Post a Comment

0 Comments