Liga Elit Dun tampil lebih 16,000 pemain

Oleh: Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Liga Elit Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak tahun 2005 kini memasuki tahun ke-20.

Liga tersebut secara tidak langsung berjaya mencungkil bakat-bakat baharu sukan bola sepak di peringkat akar umbi dan komuniti.

Sebanyak 45 Dun menyertai Liga Elit Dun dengan menghimpunkan antara 10 hingga 15 pasukan bagi setiap Dun, membabitkan lebih 16,000 pemain keseluruhannya.

Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim berkata, sebanyak 11 pasukan dari Dun Tanjong Mas akan mengambil bahagian dalam Liga Elit Dun 2025 yang dijadualkan bermula 14 Julai ini.

Katanya, Liga Elit Dun berjaya meningkatkan kemahiran dan skil pemain tempatan sehingga mampu melahirkan pemain yang diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

“Penganjuran liga ini sebahagian daripada inisiatif negeri Kelantan bagi mengarusperdanakan minat anak-anak muda. 


“Namun, kita tekankan kaedah patuh syariah seperti menutup aurat dan menjaga solat,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada semua pasukan Liga Elit Dun Tanjung Mas baru-baru ini. 

Rohani yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, Kelantan melaksanakan dasar Membina Budaya Ilmu (MBI) tanpa menyekat minat anak muda bersukan dan berhibur dengan syarat mematuhi syariah.

Post a Comment

0 Comments