Jambatan 1.2 km hubung Pantai Senok–Pulau Gajah

Oleh A RAHMAN HARUN


BACHOK: Perhubungan antara Kampung Pantai Senok, Bachok dengan Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa bakal menjadi lebih dekat apabila jambatan baharu sepanjang 1.224 kilometer siap dibina.

Jambatan itu turut direka lebih tinggi berbanding Jambatan Tok Bali di Pasir Puteh.

Projek berimpak tinggi bernilai kira-kira RM58 juta itu dijangka merancakkan sektor pelancongan, khususnya di kawasan ‘Pulau Nami’ Kampung Pantai Senok serta Kemayan Beach Resort.

Kos berkenaan merangkumi pengambilan tanah dan pelbagai keperluan lain. Ketika ini, kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan, dengan sebanyak 20 cerucuk konkrit telah siap dipasang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tawang, Ustaz Harun Ismail berkata, pembinaan 20 struktur konkrit jambatan atas darat dan dalam sungai dijangka siap dalam tempoh seminggu.

“Kami dimaklumkan perkembangan projek ini telah mencapai 27 peratus setakat Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027,” katanya selepas mendengar taklimat daripada Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR), Zainuddin Yusoff.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman; Adun Jelawat, Zameri Che Nawang serta beberapa pimpinan masyarakat. Mereka turut meninjau tapak projek di Kampung Pulau Gajah.


Menurut Harun yang juga Naib Yang Dipertua PAS Bachok, jambatan tersebut bakal membantu mengurangkan kesesakan di kawasan Kampung Kota Jembal dan simpang Raja Sakti menuju ke Jalan Padang Tembak.

Selain itu, ia dijangka mempercepatkan perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan pusat bandar Kota Bharu.

“Insya-Allah, apabila siap nanti, projek ini akan memberi kemudahan besar kepada penduduk setempat, khususnya mengurangkan kesesakan di Jambatan Pok Nik Loh, Kota Jembal, Pulau Melaka dan Panji,” katanya.



Post a Comment

0 Comments