Sekolah bukan tempat lelong arak

 Oleh: SALMAH MAT HUSAIN 


 KOTA BHARU: Majlis lelongan arak yang dilapor berlangsung di dewan sebuah sekolah rendah di Johor baru-baru ini disifatkan mencemarkan institusi pendidikan negara.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penganjuran program seumpama itu menyemai perkara tidak sihat kepada pelajar.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja memalukan, bahkan mencabar peranan sebenar sekolah sebagai tempat mendidik dan membina jati diri masyarakat.

“Peristiwa tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap peranan pihak pentadbiran sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sekolah bukan tempat hiburan murahan dan bukan medan lelong arak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas ketika majlis lelongan arak berlangsung di sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, seramai 18 lelaki berusia antara 17 hingga 48 tahun ditahan susulan kejadian itu.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Nilai moral

Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, premis sekolah kini bebas digunakan pihak luar untuk menjalankan aktiviti bertentangan dengan nilai moral, budaya dan agama masyarakat.

Tambahnya, insiden ini berlaku dalam suasana negara mengangkat tema ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ sempena sambutan Hari Guru.

“Ke mana hilangnya usaha untuk menjadikan persekitaran institusi pendidikan sebagai ejen perubahan sekiranya nilai asas pendidikan pun diabaikan,” ujarnya.

Kata beliau, sekolah sepatutnya menjadi ruang untuk pembinaan akhlak dan pengukuhan nilai masyarakat, bukan lokasi komersial yang merosakkan imej pendidikan.

Menurutnya, tindakan membenarkan aktiviti melelong arak di premis sekolah suatu penghinaan terhadap fungsi asal institusi pendidikan.

Surah Al-Ma’idah ayat 91, Allah SWT mengingatkan tentang bahaya arak:

“Sesungguhnya syaitan itu hanya mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui (pengambilan) arak dan judi, dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Maka mahukah kamu berhenti (daripada perbuatan itu)?”

Sehubungan itu, Dr Fadzli menggesa KPM segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang membenarkan penggunaan dewan sekolah untuk lelongan arak.

Beliau turut mencadangkan garis panduan penggunaan premis sekolah diperketat bagi memastikan insiden serupa tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau berharap seluruh warga pendidik, pentadbir, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat serta pihak berkuasa mempertahankan peranan sekolah dalam usaha membina generasi rabbani, berintegriti dan bermaruah.


Post a Comment

0 Comments