Oleh Fathi Yusoff Ajami
KOTA BHARU, 17 Julai 2025 – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan bahawa kadar Jenayah Indeks di negeri ini menunjukkan penurunan ketara sebanyak 14.3% bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, iaitu daripada 1,129 kes kepada 967 kes.
Menurut beliau, pengurangan sebanyak 162 kes ini mencerminkan kejayaan pendekatan bersepadu yang digerakkan oleh kerajaan negeri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.
“Penurunan ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan dasar pentadbiran negeri yang berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam, tetapi juga menunjukkan sinergi kukuh antara kerajaan, agensi penguat kuasa dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, meskipun negeri ini sering berdepan dengan pelbagai persepsi negatif yang tidak berasas, data semasa sebegini seharusnya diketengahkan sebagai bukti pencapaian positif dan usaha berterusan pentadbiran Kelantan dalam menjaga keamanan.
Dalam masa sama, Dato’ Dr Fadzli menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan pembinaan tembok keselamatan di beberapa laluan sempadan Malaysia–Thailand yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.
“Inisiatif ini penting sebagai langkah strategik untuk membendung jenayah rentas sempadan dan melindungi kedaulatan serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan terdapat sedikit peningkatan dalam beberapa kategori jenayah kekerasan, namun menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa meneliti isu keselamatan secara menyeluruh melalui dasar yang mantap dan perancangan strategik.
Statistik juga menunjukkan bahawa Kelantan kini diiktiraf sebagai negeri kedua paling selamat di Malaysia selepas Sabah, dengan hanya 96 kes Jenayah Indeks bagi setiap 100,000 penduduk.
“Ini adalah pencapaian besar yang membuktikan keberkesanan tadbir urus negeri dalam menghadapi cabaran sosial dan keselamatan, serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
0 Comments