![]() |
YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM , 17 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan pendirian tegas menolak sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuk amalan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, amalan sedemikian adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak serta menggugat keharmonian sosial.
“Bumi Kelantan tidak akan dibiarkan menjadi tempat normalisasi maksiat yang jelas diharamkan oleh Allah SWT. Kami akan terus mempertahankan nilai-nilai hidup berlandaskan syariat Islam,” tegas beliau menerusi satu hantaran di media sosial miliknya hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai instrumen perundangan dalam menangani pelbagai kesalahan syariah, termasuk perbuatan liwat, musahaqah dan perlakuan tidak bermoral lain.
"Walaupun pernah menghadapi cabaran perundangan, kerajaan negeri tetap komited untuk meminda dan memperkukuh enakmen tersebut demi mempertingkatkan keberkesanannya.
Sebagai langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh, kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Kesihatan Negeri, Yayasan Islam Kelantan (YIK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Intitut Latihan Darulnaim (ILDAN) dan beberapa agensi lain," katanya.
Jawatankuasa tersebut memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan antara agensi bagi membendung keruntuhan moral dan menangani tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat.
YB Dato' Dr Mohamed Fadzli turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas dengan menyekat akses kepada platform digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.
Tegas beliau, ruang digital tidak wajar dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang boleh merosakkan pemikiran dan akhlak, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan juga sedang giat melaksanakan Program Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb), yang bertujuan membina masyarakat sejahtera dari aspek spiritual, emosi dan sosial.
"Program ini berasaskan pendekatan lapangan yang melibatkan pelbagai institusi negeri, bagi memperkukuh kefahaman Islam serta membina daya tahan komuniti terhadap gejala sosial," katanya.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada PDRM Kelantan atas tindakan pantas dan tegas menggagalkan penganjuran pesta maksiat melibatkan kumpulan gay di Kota Bharu baru-baru ini.
“Tindakan tegas ini mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam serta mempertahankan nilai hidup masyarakat,” kata beliau.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan terus teguh memelihara kesucian Islam dan kesejahteraan rakyat, serta tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang cuba membuka ruang kepada kebebasan tanpa batas yang boleh membawa kepada kehancuran moral yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
0 Comments