Kecemerlangan pelajar Kelantan dalam peperiksaan awam bukti kejayaan DPRK


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 9 Julai – Kecemerlangan pelajar-pelajar Kelantan dalam peperiksaan awam negera seperti SPM, STPM dan STAM bagi tahun 2024 menjadi bukti kukuh keberkesanan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pencapaian cemerlang para pelajar membuktikan kejayaan dasar tersebut dalam melahirkan generasi Rabbani yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah beriman, berakhlak dan berwibawa dalam memimpin masa depan ummah.

“Kita harap dengan pencapaian cemerlang ini, pelajar dapat menjaga diri daripada terjebak dengan perkara yang tidak bermoral,” katanya ketika memberi ucapan aluan di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM, STPM dan STAM 2024, di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjung, di sini, hari ini.


Menurut beliau, kejayaan yang dicapai bukanlah penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada fasa baharu kehidupan yang menuntut ketekunan, kesungguhan dan iltizam tinggi. Beliau turut menekankan bahawa ilmu yang diperoleh harus dimanfaatkan untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat dan membangunkan negara.

Beliau turut menyifatkan majlis tersebut bukan sekadar pengiktirafan kepada pelajar cemerlang, malah menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam mengangkat martabat pendidikan serta menghargai mereka yang mengharumkan nama Kelantan di persada akademik.

Dalam majlis tersebut, 1,301 pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan 2025 berbanding 1,200 pelajar pada tahun lalu, dengan setiap penerima membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.

Bagi SPM, pelajar dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencatatkan 195 penerima, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) 703, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 165, dan sekolah swasta 25 orang. Manakala bagi STAM, seramai 48 pelajar dari YIK, dan tiga dari luar negeri menerima anugerah. Bagi STPM pula, seramai 163 pelajar diraikan.


“Selagi mana mereka anak Kelantan, kita akan beri anugerah ini. Paling istimewa, pelajar luar Kelantan yang belajar di sini pun turut diberikan penghargaan,” jelas Dato' Wan Roslan.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan akan sentiasa komited untuk menyokong segala usaha pendidikan khususnya melalui YIK.

Komitmen ini dizahirkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, antaranya Tuisyen Rakyat sejahtera (TRS) yang diadakan secara percuma di seluruh 45 Dewan Negeri (DUN) di Negeri Kelantan. Inisiatif ini menjadi simbol keprihatinan kerajaan negeri dalam kestabilan pendidikan tanpa mengira latar belakang

"Alhamdulillah sambutanya amat menggalakkan dan menyumbang kepada kejayaan SPM 2024. Program TRS akan diteruskan lagi dengan penambahan peruntukan untuk setiap DUN.

"Selain itu, satu lagi program baharu iaitu e-Tuisyen Rakyat turut diperkenalkan dengan kerjasama Telekom Malaysia, khusus untuk pelajar tahfiz agar mereka dapat mencapai kecemerlangan akademik,"ujar beliau.

Tambah beliau lagi, program-program tersebut adalah hasil kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan seperti YIK, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan Intitut Latihan Darulnaim (ILDAN) yang memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua golongan, terutamanya keluarga berpendapatan rendah.

“Kita akan terus memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pembangunan ilmu. Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kestabilan pendidikan dan masa depan anak-anak Kelantan,” ujarnya agi.

Post a Comment

0 Comments