KOTA BHARU: Pelbagai kaedah dikemukakan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan bagi menangani masalah penagihan dadah khususnya dalam kalangan pelajar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri mengadakan mesyuarat khas minggu lepas bagi memperkukuh usaha menangani masalah penagihan dadah.
Katanya, mesyuarat tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta jabatan berkaitan pendidikan.
“Kami merangka pendekatan secara holistik dalam usaha membanteras gejala yang semakin membimbangkan itu,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2024 di Dewan YIK hari ini.
Menurutnya juga, antara aspek utama yang dibincang ialah keperluan mendidik generasi muda melalui pendedahan awal tentang bahaya dadah, pemilihan rakan sebaya serta intervensi berbentuk rawatan.
Kata beliau juga, kebanyakan kes yang berlaku sebelum ini berpunca daripada runtuhnya institusi kekeluargaan.
Baru-baru ini, media melaporkan polis menahan enam individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
0 Comments