Oleh: SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRW FC) giat mencari dana tambahan bagi memperkukuh kedudukan kewangan pasukan menjelang musim baharu Liga Super dan saingan Liga AI Semi-Pro 2025/2026.Presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan, berkata dana berjumlah RM4 juta penting bagi memastikan kelab dapat bergerak lebih lancar dan berdaya saing dalam pelbagai kejohanan akan datang.
“Kita amat bergantung kepada penajaan bagi menggerakkan kelab. Oleh itu, tajaan berskala besar amat diperlukan untuk memastikan prestasi pasukan lebih menyinar musim depan,” katanya pada sidang media malam semalam.
Sempena majlis itu, KRW FC turut mengumumkan dua penaja utama kelab iaitu Naskeen Coffee dan BardGym, dengan nilai keseluruhan tajaan mencecah RM1 juta.
Daripada jumlah tersebut, RM500,000 merupakan sumbangan dalam bentuk tunai, manakala selebihnya berupa sokongan perkhidmatan.
Turut hadir Ketua Pemasaran Naskeen Coffee, Al Amin Hazimi Mohd Al, dan pemilik BardGym, Mohd Badrul Insan Kauzi.
Nik Hafiz turut menzahirkan penghargaan atas komitmen syarikat-syarikat tempatan yang tampil menyokong pembangunan sukan bola sepak di Kelantan.
“Kami berharap lebih banyak pihak tampil membantu dan bersama-sama mengangkat semula martabat bola sepak di negeri ini," ujarnya.
KRW FC kini merancang pelbagai inisiatif pengukuhan pasukan termasuk pembangunan pemain serta penyertaan dalam liga-liga kompetitif, sebagai usaha membina semula kegemilangan bola sepak Kelantan.
0 Comments