![]() |
YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 21 Julai — Kerajaan Negeri Kelantan memfokus dua sumber tenaga boleh diperbaharui (TBB) iaitu 46 peratus tenaga hidro dan tenaga solar sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian negeri selaras dengan dasar tenaga mampan negara.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan bahawa beberapa projek besar sedang dilaksanakan, termasuk Loji Hidro Pergau Sultan Ismail Petra berkapasiti 600 MW, menjadikannya loji hidro bawah tanah terbesar di Semenanjung sejak tahun 2003.
Turut menyumbang ialah Hidro Sungai Kenerong (20 MW) dan projek solar terapung Danau Tok Uban yang kini diiktiraf sebagai ladang solar terapung terbesar di Malaysia dengan kapasiti 60 MW sejak Januari 2025.
“Kerajaan negeri juga sedang menyiapkan Empangan Hidroelektrik Nenggiri (Nenggiri HEP) berkapasiti 300 MW yang dijangka siap menjelang tahun 2027, projek hidro tunggal terbesar milik Tenaga Nasional Berhad di negeri ini.
“Di samping itu, di Pergau, projek hibrid hidro-solar berkapasiti 45 MW dengan sistem penyimpanan tenaga (BESS) turut dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan ADN Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah dalam Sidang Dewan Negeri Kali Kedua Penggal Ketiga, hari ini.
Dalam masa sama, projek solar darat di Rantau Panjang di bawah program Large Scale Solar 5 (LSS5) dijangka mula beroperasi dengan kapasiti hampir 100 MW, melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan Samaiden Berhad. Projek tersebut dijangka menghasilkan 150 GWh setahun.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut merancang rangkaian projek hidro sungai di bawah syarikat Serasa dan Kemubu dengan kapasiti gabungan hampir 60 MW yang akan dibiayai melalui pembiayaan sukuk hijau.
Bagaimanapun, Dato’ Wan Roslan menjelaskan bahawa meskipun lebih 95 peratus kapasiti penjanaan tenaga Kelantan datang daripada sumber hijau, kadar penyerapan ke Grid Nasional masih terbatas disebabkan kekangan sambungan.
“Pada tahun 2025, dianggarkan 31 peratus permintaan tenaga elektrik negeri dijana melalui sumber boleh diperbaharui. Peratusan ini dijangka melonjak kepada sekurang-kurangnya 46 peratus menjelang 2027 selepas projek-projek utama siap sepenuhnya,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan YB Nik Bahrum, beliau turut menegaskan penglibatan syarikat tempatan dan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) amat signifikan dalam memperkukuh sektor teknologi hijau.
Dato’ Wan Roslan juga memaklumkan bahawa Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings (KUM) bersama Cypark Resources Berhad telah menyiapkan ladang solar terapung Danau Tok Uban. PKINK pula bekerjasama dengan Samaiden Group Berhad membangunkan ladang solar 100 MW di tanah milik PKINK, Rantau Panjang.
Jelasnya lagi, pada bulan Mei yang lalu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat Samaiden Group Berhad bagi pembinaan ladang solar berkapasiti 100 Megawatt (MW) di atas tanah milik PKINK di Rantau Panjang.
“Pada minggu lepas pula, Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings (KUM) telah berjaya memperoleh kuota daripada Sustainable Energy Development Authority (SEDA) bagi pembinaan sebuah loji mini hidro di Gua Musang.
“Beberapa syarikat pembuatan seperti Rohm Semiconductor, Ain Medicare dan Erawan Bottling juga dilaporkan telah memasang sistem solar bumbung di premis masing-masing sebagai usaha mempelbagaikan sumber tenaga bersih.
“Tiga projek mini hidro hasil usaha sama Malakof dan RP Hidro Kelantan sedang giat dibangunkan di Kuala Krai, manakala syarikat Sindiyan turut memohon membangunkan ladang solar 100 MW di Lojing.
“GLC KUM sejak tahun 2016 menjadi wakil negeri di pentas IGEM pameran teknologi hijau terbesar negara bagi menarik pelabur dan mempromosi kelestarian alam sekitar di Kelantan,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif teknologi hijau di Kelantan juga disokong oleh komitmen syarikat tersenarai awam melalui pelaksanaan mandatori ESG, di samping mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan yang dilancarkan sejak tahun 2019.
0 Comments