Kelantan kekal pertahan Tanah Rizab Melayu terluas di Malaysia

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 21 Julai – Negeri Kelantan mengekalkan rekod sebagai negeri yang memiliki keluasan Tanah Rizab Melayu terbesar di Malaysia, dengan keseluruhan negeri diwartakan sebagai Rizab Melayu kecuali sebahagian kecil kawasan yang dikekalkan di luar Rizab, mengikut Warta Kerajaan No.2044/2020.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dalam Sidang Dewan Negeri Kelantan Kali Kedua Bagi Penggal Ketiga, hari ini.

“Keluasan Tanah Rizab Melayu di Kelantan kini mencecah 1,361,114 hektar, bersamaan 91.1 peratus daripada keseluruhan negeri. Hampir semua perancangan pembangunan negeri dilaksanakan di atas tanah Rizab Melayu,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman.

Menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan beberapa pendekatan strategik bagi memelihara status tanah Rizab Melayu sambil merancakkan pembangunan.

“Pendekatan pertama, kita membuka peluang pelaburan melalui projek berimpak tinggi. Kedua, memastikan apa jua pembangunan tidak menjejaskan atau mengurangkan keluasan Tanah Rizab Melayu. Ketiga, sebarang pembangunan di atas tanah Rizab Melayu hanya boleh dijalankan projek selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri,” jelasnya.

Dalam penjelasan perbandingan, beliau turut memaklumkan bahawa Kelantan mendahului negeri-negeri lain dari segi keluasan Tanah Rizab Melayu, jauh meninggalkan negeri Perak (955,587.80 hektar), Kedah (829,782.06 hektar), Johor (561,787.83 hektar) dan Pahang (444,074.90 hektar).

“Alhamdulillah, Kelantan masih mengekalkan status negeri dengan Tanah Rizab Melayu paling luas di Malaysia,” katanya menjawab soalan ADN Mengkebang YB Zubir Abu Bakar.

Dalam sesi yang sama, ADN Galas YB Mohd Syahbuddin Hashim turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri atas kejayaan mempertahan keluasan tersebut. Beliau juga meminta penjelasan status tanah pajakan dan konsesi seperti Ladang Rakyat seluas 174 hektar dan 63.5 hektar, sama ada diambil kira sebagai Rizab Melayu.

Dato’ Mohd Nassuruddin menjelaskan, Ladang Rakyat kekal termasuk di dalam Tanah Rizab Melayu. “Setelah tamat pajakan 30 atau 60 tahun, tanah itu tetap milik kerajaan negeri. Sama ada pajakan disambung atau tidak, bergantung kepada keputusan kerajaan negeri pada masa itu,” katanya.

Menjawab soalan ADN Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus berkenaan dasar kerajaan negeri terhadap masyarakat orang asli pula, beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan komuniti tersebut.

“Kawasan rayau orang asli diwartakan di bawah Kanun Tanah Negara 1995 dan diiktiraf aktiviti harian mereka selaras dengan Akta Orang Asli 1954,” jelas beliau.

Sementara itu, ADN Kota Lama YB Hafidzah Mustakim pula menyuarakan kebimbangan mengenai pajakan tanah kepada pihak bukan bumiputera.

Menjawab perkara itu, Menteri Besar menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menjual tanah kepada bangsa lain. Sebaliknya, hanya menawarkan pajakan sehingga 60 tahun untuk tujuan pembangunan.

"Pajak dan jual adalah dua istilah yang jauh berlainan. Pajakan tanah dilaksanakan selaras dengan dasar pembangunan di seluruh negara,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments