![]() |
YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan besar menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Pasir Mas dan Tumpat baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan pada 27 Jun 2025 itu berjaya membongkar taktik licik sindiket yang menyembunyikan dadah dalam timbunan najis lembu, sekaligus membawa kepada rampasan lebih 118,000 biji pil kuda dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.04 juta. Kejayaan ini merupakan hasil risikan dan siasatan rapi selama setahun oleh pihak berkuasa.
Selain rampasan dadah, tindakan susulan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk penyitaan aset yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan haram tersebut.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, dalam satu kenyataan media hari ini menyifatkan kejayaan itu sebagai satu langkah besar dalam memerangi ancaman dadah di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Kelantan komited sepenuhnya dalam jihad memerangi dadah dan akan terus bekerjasama erat dengan agensi keselamatan bagi memastikan jenayah dadah dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama antara kerajaan negeri dan pasukan keselamatan amat penting dalam usaha melindungi rakyat serta menjamin masa depan negeri yang lebih selamat dan bermaruah.
“Semoga usaha ini terus diperkukuh demi memastikan Kelantan bebas daripada ancaman dadah dan segala bentuk jenayah yang merosakkan,” tambah beliau.
Kejayaan ini dilihat sebagai mesej tegas kepada pihak yang cuba menjadikan negeri ini sebagai pusat transit atau edaran dadah, bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
0 Comments