Kelantan libatkan GLC rancakkan industri batik

YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman,
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan

Oleh: Mohamad Farhan

KOTA DARULNAIM, 23 Julai - Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkukuh industri batik melalui pelbagai inisiatif, termasuk penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan sektor ini kekal berdaya saing dan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata usaha memperkasakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) batik di negeri ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pembatik Melayu Pantai Timur yang kini dianggotai seramai 261 ahli aktif.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memberi sokongan penuh kepada Koperasi Pembatik Kelantan yang mempunyai keanggotaan seramai 331 orang, sebagai salah satu tonggak memperkukuh ekosistem industri batik tempatan,” katanya ketika menjawab soalan pada Persidangan Kedua, Penggal Ketiga, Dewan Negeri Kelantan ke-15, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelbagai program telah dianjurkan secara konsisten seperti ekspo, pameran kraf dan program silang budaya untuk memperluaskan pasaran batik.

Usaha itu turut disokong dengan dasar pemakaian batik oleh penjawat awam negeri setiap hari Khamis dan pada acara rasmi kerajaan, yang dilihat berupaya meningkatkan permintaan produk batik tempatan.

Tambahnya, budaya memiliki busana dan barangan berunsur batik kini semakin subur dalam kalangan rakyat Kelantan, sekali gus menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan pendapatan pengusaha tempatan.

“Acara mencanting batik yang melibatkan pelancong domestik dan antarabangsa juga diadakan secara berkala, manakala produk cenderahati dan hadiah berasaskan motif batik seperti selendang, baju-T, beg tangan, tas tangan pelbagai guna, tali leher, kipas tangan, alas meja dan rantai kunci terus mendapat sambutan,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan melaporkan terdapat pengusaha batik di semua jajahan serta di pintu masuk utama negeri ini, menjadikan industri batik sebagai salah satu ikon kebudayaan dan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui GLC akan terus menggandakan usaha dengan merancang Hari Karnival Batik Kelantan pada tahun 2025, yang dijangka menghimpunkan antara 50 hingga 70 pengusaha batik, sekaligus membuka lebih banyak peluang jaringan perniagaan dan promosi pada skala lebih meluas.

Post a Comment

0 Comments