![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa pelaksanaan Program Membina Generasi Solat (MGS) dan Membina Generasi Al-Quran (MGQ) menjadi usaha teras dalam menangani isu pengabaian solat lima waktu dalam kalangan rakyat khasnya remaja negeri ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata kedua-dua program tersebut menyasar golongan belia, pelajar sekolah serta keluarga berisiko dengan tujuan memantapkan ilmu solat dan al-Quran, di samping membina akhlak, disiplin serta kekuatan rohani sebagai benteng daripada gejala sosial dan jenayah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Pulai Chondong YB Azhar Salleh dalam Persidangan Kali Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan ke-15 di Kota Darulnaim, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri turut menubuhkan Alumni MGS yang dilancarkan sempena Majlis Perasmian Bulan Solat tahun ini bagi memantau keberkesanan program secara berterusan di seluruh negeri.
Bagi mendalami tahap sebenar isu ini, Bahagian Dakwah Halaqat dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Sultan Ismail Petra (KIAS) sedang melaksanakan Kaji Selidik Pengabaian Solat yang bermula 15 Julai 2025 hingga April 2026.
"Kajian ini melibatkan penilaian di 11 jajahan dengan 384 responden bagi setiap jajahan dan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM49,000.
“Kerajaan negeri serius membentuk masyarakat berdisiplin dan berakhlak mulia, bermula dengan pengukuhan ibadah solat sebagai teras pembinaan insan,” tegasnya.
0 Comments