Kelantan perkukuh kebajikan OKU, RM600,000 diperuntuk setiap tahun

YB Rohani Ibrahim,
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan

Oleh: Mohamad Farhan Fauzai

KOTA DARULNAIM, 21 Julai 2025 – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited menjaga kebajikan dan memperkukuh pembangunan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerusi pelbagai program inklusif dengan peruntukan tahunan sebanyak RM600,000, hasil kerjasama erat bersama Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK).

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim berkata, usaha bersepadu itu digerakkan melalui pelbagai inisiatif berfokuskan pemberdayaan komuniti OKU di seluruh negeri.

“Antara program utama ialah Program Pemerkasaan Penggerak OKU yang melibatkan penyelaras pembangunan OKU Parlimen dan MPPOK. Ia merangkumi aktiviti berterusan seperti usrah, mesyuarat penyelarasan, kursus organisasi, jaulah, lawatan kerja, qiam cinta Rasul dan seminar berkaitan hak undang-undang OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15, di sini, hari ini.

YB Harun Ismail,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang

Selain pemerkasaan, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kewangan melalui Program Agihan Bantuan Maaruf OKU, iaitu bantuan tunai one-off berjumlah RM300 kepada setiap penerima. Seramai 1,400 orang OKU dijangka menerima manfaat ini tahun ini, melibatkan agihan melalui Pusat Khidmat DUN dan NGO terpilih.

“Kerajaan juga menganjurkan Majlis Iftar bersama Pimpinan Kerajaan Negeri setiap tahun, melibatkan 900 OKU yang turut menerima sumbangan Ramadan dan Hari Raya,” tambahnya.

Dalam memastikan kesejahteraan OKU terjamin secara holistik, kerajaan negeri turut menyokong pelbagai program anjuran agensi dan NGO termasuk Kembara Muhibbah OKU bersama Persatuan Down Sindrom Kelantan, Program Pemantapan Pengendalian Anak Autisme dengan kerjasama Persatuan Autisme USM dan Persatuan Autisme Kelantan, serta Bantuan Banjir Khas OKU hasil kerjasama badan korporat dan NGO.

Menariknya, Projek I-Akuaponik turut diperkenalkan dengan sasaran golongan wanita OKU daripada kumpulan B40. Projek berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama UiTM Cawangan Kelantan dan Pertubuhan Prihatin Ikhtiar Ihsan dengan pembiayaan daripada Yayasan Hasanah.

Turut digerakkan, Wacana Strategik bersama Pusat Kajian Strategik (PKS) dan MPPOK sebagai platform memperkukuh dasar dan hala tuju program kebajikan OKU secara lebih tersusun.

Post a Comment

0 Comments