![]() |
YB Zamakhshari Muhamad, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan |
Oleh: Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 21 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan komited dalam usaha membentuk generasi belia yang berakhlak mulia serta berdaya tahan terhadap pengaruh budaya luar yang negatif dengan pelaksanaan pelbagai dasar dan program strategik, khususnya menerusi Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) dan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Menurut Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Mohamad, pendekatan holistik yang diambil memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah, kepimpinan, kerohanian dan kecekapan digital dalam kalangan anak muda.
“Kita mahu melahirkan generasi Al-Qawiyyul Al-Amin, iaitu belia yang kuat, cerdas, berintegriti dan berpaksikan nilai Islam. Ini penting agar mereka mampu menghadapi cabaran semasa, termasuk pengaruh budaya digital yang semakin meresahkan,” katanya ketika menjawab soalan ADN Salor, YB Tuan Saizol Ismail dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
![]() |
YB Tuan Saizol Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor |
Jelas beliau, antara program yang dilaksanakan termasuklah penubuhan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), iaitu sebuah platform latihan kepimpinan belia yang menekankan aspek idealisme, nilai dan integriti.
Turut diperkenalkan ialah Kelantan Future Leaders Camp & Bootcamp, iaitu program intensif khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mahasiswa bagi memupuk semangat kepimpinan serta khidmat masyarakat.
Selain itu, pelaksanaan program Kolej Gentera dan Felo Darulnaim turut diteruskan untuk musim keempat, menggunakan pendekatan ‘Touch N Stay’ bagi membina ketahanan diri belia serta melahirkan barisan pelapis pelaksana dasar melalui pendedahan langsung kepada tadbir urus kerajaan dan pembangunan dasar belia.
Bagaimanapun mengulas isu pengaruh subkultur digital seperti budaya TikTok, jenaka lucah dan kandungan liberal, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pembinaan “daya tahan digital” atau digital resilience dalam kalangan belia muslim Kelantan.
“Kita laksanakan pelbagai program berbentuk pembangunan kerohanian dan kesedaran sosial melalui program Anak Muda Tamu Ramadan (AMTAR),” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengukuhan komuniti setempat dilakukan secara berterusan melalui aktiviti Rakan Muda Al-Quran, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat sebagai medium untuk mengisi masa lapang anak muda dengan aktiviti yang bermanfaat dan mendidik.
Semua inisiatif ini dipantau melalui analisis output dan outcome tahunan, dengan memberi fokus kepada jurang prestasi untuk penambahbaikan berterusan. Kerajaan negeri juga sedang membangunkan Pusat Data Belia dan ekosistem alumni belia bagi memastikan kesinambungan impak program serta pelaksanaan yang lebih tersusun pada masa depan.
0 Comments