YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman,
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 22 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkukuh strategi menarik pelaburan berimpak tinggi melalui pelaksanaan program berskala antarabangsa dan pembangunan infrastruktur yang mampan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, antara inisiatif utama yang dirancang termasuk penganjuran Hari Pelaburan Kelantan @ INFEX 2025 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober ini dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Program tersebut bertujuan mempromosi peluang pelaburan baharu kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Kerajaan negeri turut merancang misi pelaburan ke negara-negara berpotensi termasuk Jepun. Misi ini dijadualkan pada Julai ini dengan kerjasama MIDA dan ROHM Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., bersempena Expo 2025 Osaka serta penyertaan di Pavilion Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok YB Zuraidin Abdullah dalam Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 di Kota Darulnaim, hari ini.

YB Zuraidin Abdullah,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok

Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Bahagian Pelaburan Kelantan sentiasa menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan seperti MIDA, ECERDC serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menarik pelabur berpotensi.

“Bagi memperkukuh tarikan, kerajaan negeri turut menumpukan penyediaan kawasan perindustrian baharu yang lengkap dengan kemudahan asas.

Antara projek yang sedang dibangunkan ialah Taman IBS seluas 200 ekar di Machang dan Taman Industri Pasir Puteh seluas 200 ekar melalui kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC),” katanya.