KERJA DAKWAH PERLU DISESUAIKAN MENGIKUT ZAMAN DAN TEMPAT – YB DATO' AHMAD YAKOB

YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob,
Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 1 Julai – Kerja dakwah adalah satu usaha yang amat penting dan perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah serta berpandukan maklumat dan kaedah yang sesuai dengan masa dan tempat.

Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Kelantan, YB Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob menjelaskan bahawa kerja dakwah bukanlah sesuatu yang baharu malah telah dimulakan sejak zaman Rasulullah SAW, yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan tentangan hebat daripada kaum Quraisy ketika menyebarkan ajaran Islam di Kota Mekah.

“Orang-orang Quraisy bukan sahaja menolak dakwah Rasulullah SAW, malah mereka menjalankan pelbagai usaha untuk menggagalkannya termasuk sekatan ekonomi, pemulauan dan tekanan sosial. Baginda dan para sahabat pernah berdepan situasi kekurangan makanan kerana dikenakan sekatan yang sangat ketat."


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana Metodologi Dakwah Non Muslim 2025, di Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Isnin.

YB Ustaz Dato’ Ahmad turut membandingkan situasi tersebut dengan keadaan semasa, di mana umat Islam kini mempunyai lebih banyak ruang dan peluang untuk berdakwah dengan sokongan kerajaan, agensi-agensi dan jabatan yang bertunjangkan prinsip Islam.

“Sekarang kita sudah ada kerajaan Islam, jabatan dan agensi yang memudahkan lagi usaha dakwah kepada bukan Islam. Tidak seperti zaman Rasulullah SAW yang penuh tekanan, kita hari ini ada ruang dan kelebihan yang perlu dimanfaatkan,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh isu sekatan ekonomi terhadap negara Islam seperti Iran, yang walaupun kaya dengan sumber minyak dan gas, tetap ditekan oleh kuasa Barat selama lebih 40 tahun hingga menyebabkan inflasi tinggi dan ketidakstabilan ekonomi.


“Ini satu contoh bagaimana kuasa luar sentiasa berusaha menekan negara Islam. Kita di Kelantan pula mencari kaedah untuk mengislamkan seramai mungkin orang bukan Islam demi menyelamatkan aqidah mereka,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, program wacana seperti ini menjadi platform penting untuk mendapatkan pandangan yang bernas daripada ahli panel berpengalaman demi memperluaskan usaha dakwah, khususnya di negeri Kelantan.

“Kita diberi keizinan oleh Perlembagaan Malaysia untuk menyebarkan agama Islam kepada bukan Islam. Islam adalah agama yang membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah manusia. Jika kita tahu kaedah semasa dan pendekatan yang betul, in syaa Allah tiada halangan untuk menarik minat golongan bukan Islam terhadap keindahan Islam,” katanya lagi.

Wacana anjuran Yayasan Amanah Tok Kenali dengan kerjasama PERKIM dan Ilmuan Kelantan tersebut menampilkan dua pendakwah terkenal tanah sebagai ahli panel iaitu Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan (Cina) Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan (India), Muhammad Fitri Abdullah, manakala Penolong Pengarah Kanan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Abdul Malik Abdul Karim bertindak sebagai moderator.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan Kebajikan PERKIM Kelantan, Dato' Hasan Mohamood dan Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan.

Post a Comment

0 Comments