Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 31 Julai – Konsep kebajikan lahir daripada hubungan erat di antara manusia dengan Allah serta hubungan sesama manusia yang dijaga dengan baik dalam masyarakat.
Demikian kenyataan Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D’Raja Dato' Dr. Mohd Amar Abdullah ketika merasmikan Sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2025 di Dataran Masjid Muhammadi, di sini hari ini.
Menurutnya, konsep kebajikan dalam Islam bermula daripada keimanan yang kukuh kepada Allah dan rukun iman yang lain, seterusnya diterjemahkan melalui amalan memberi dan membantu sesama manusia, walaupun dengan harta yang amat disayangi.
“Inilah konsep cakna yang sebenar, membantu golongan asnaf, saudara-mara dan mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan telah lama mengamalkan konsep kebajikan meskipun dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan.
“Biarpun jumlah bantuan tidak besar, namun ia membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat,” ujarnya.
Mengulas mengenai sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2025, beliau berkata program berkenaan bukan bertujuan untuk bermegah, sebaliknya bagi mengingatkan semua pihak tentang tanggungjawab sosial.
“Tanggungjawab menjaga kebajikan bukan hanya di bahu kerajaan, tetapi melibatkan semua individu, pertubuhan dan masyarakat secara keseluruhan. Semoga program ini dapat menyemai kesedaran sosial yang berterusan. Insya Allah, Kelantan akan terus dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah,” katanya.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan terus melaksanakan dasar kebajikan berteraskan pendekatan "Membangun Bersama Islam".
“Hasrat untuk menjadi negeri berkebajikan direalisasikan dengan dasar kebajikan dan kesejahteraan rakyat 2025 sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata lebih 30 jenis insentif dan bantuan kebajikan disalurkan kepada rakyat melalui pelbagai platform bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar.
“Program-program kebajikan disalurkan melalui jaringan penggerak di setiap Dewan Negeri (DUN) seperti Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), masjid, Pusat Khidmat DUN (PKD), penggawa, penghulu serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan,” jelasnya.
Kata YB Rohani lagi, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah mengisytiharkan komitmen dalam Bajet 2025 dengan memperuntukkan sebanyak RM62.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai program kebajikan.
"Salah satu program yang mendapat sambutan rakyat ialah “Skuad Kito Cakno” yang menyasarkan seramai 450 penerima di seluruh negeri. Ia dikendalikan oleh skuad bersama wakil rakyat tempatan.
“Selain itu, seramai 49,088 armalah di seluruh Kelantan telah berdaftar dan menerima bantuan sekali beri daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban hidup mereka,” tambahnya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada enam aktivis kebajikan mengikut kategori iaitu kategori cakna Orang Kelainan Upaya (OKU), cakna armalah, cakna anak yatim, cakna warga emas, cakna asnaf miskin dan cakna NGO.
Turut hadir, Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zin, Ahli-Ahli Dewan Negeri, Timbalan Mufti Negeri Kelantan Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Muhammad, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki, serta Imam Tua Masjid Muhammadi Hairul Azizi Mokhtar.
0 Comments