Hari Iqra’ 2025: Membaca pacu pemikiran, pandu perubahan

YB Zamakhshari Muhamad,
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 31 Julai – Membaca ialah senjata utama yang memacu pemikiran dan memandu ke arah perubahan dalam menghadapi cabaran dunia moden yang sarat dengan maklumat dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Demikian kenyataan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan YB Zamakhshari Muhamad ketika merasmikan Majlis Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darulnaim 2025 yang berlangsung di Mydin Mall, Tunjong, di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata tema sambutan tahun ini, “Membaca Menyatukan Semua”, amat bertepatan dengan landskap semasa yang penuh cabaran maklumat dan teknologi.

"Tema sambutan tahun ini bukan sekadar slogan tetap satu keperluan mendesak dalam membina masyarakat yang celik maklumat dan berdaya saing.


“Dalam dunia yang penuh maklumat sama ada benar atau palsu, membaca menjadi benteng awal untuk menilai, memahami dan membuat keputusan yang bijak.

"Membaca bukan sekadar mengenal huruf, tetapi membina pemikiran kritis dan kreatif,” katanya.

Tambahnya, dalam era teknologi AI yang semakin canggih, manusia hanya akan menjadi pengguna pasif tanpa asas ilmu dan budaya membaca yang kukuh.

“AI boleh menulis, menganalisis dan membuat keputusan, tetapi tanpa kekuatan ilmu, kita hanya akan mengikut arus bukan memimpinnya. Hanya mereka yang membaca dengan mata hati mampu mencorak perubahan,” tegasnya.


Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran antologi cerpen Pucuk Ubi Kayu terbitan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) sebagai usaha memperkasa karya kreatif tempatan dan menyemarakkan semula kesusasteraan rakyat berteraskan nilai tempatan.

Seterusnya, beliau yang juga Pengerusi PPAK menyampaikan Anugerah Buku Fiksyen dan Bukan Fiksyen 2025 kategori kanak-kanak dan dewasa yang mengiktiraf kecemerlangan karya penerbitan negeri.

Antaranya, kumpulan cerpen Menunggu Kudup Seroja Berkembang karya Nik Zainun Nik Abu Bakar yang merangkul anugerah Kategori Buku Fiksyen Dewasa.

Pesta Buku Darulnaim 2025 berlangsung selama lima hari, menghimpunkan penerbit tempatan dan nasional, aktiviti interaktif keluarga serta program galakan membaca melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi dan penerbitan swasta.




Post a Comment

0 Comments