Oleh: SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Pembukaan pawagam di Kelantan bukan dianggap sebagai satu keutamaan kerana rakyat negeri itu masih memiliki akses luas untuk menikmati hiburan termasuk menonton filem di negeri-negeri jiran.Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar Abdullah, berkata rakyat Kelantan bukan sahaja celik hiburan bahkan mampu membuat pilihan secara matang tanpa perlu bergantung kepada kemudahan pawagam.
Katanya, ramai yang tidak melihat kewujudan panggung wayang sebagai satu keperluan mendesak.
"Malah, ada yang bersama keluarga ke Terengganu atau Kuala Lumpur untuk menonton filem di pawagam bertaraf lounge mewah. Itu bukan perkara luar biasa,” katanya pada hantaran di Facebooknya malam semalam.
Beliau turut menyamakan situasi itu seperti rakyat Kelantan yang melancong ke Thailand untuk membeli-belah, bercuti atau menikmati makanan.
Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, isu pawagam kembali menjadi tumpuan apabila filem Mat Kilau mencetuskan fenomena luar biasa sebelum ini.
Namun, ada pihak sengaja meniup sentimen seolah-olah rakyat Kelantan dinafikan hak untuk menonton filem di pawagam, sedangkan hakikatnya ia tidak pernah menjadi tuntutan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, isu terbabit timbul menjelang pilihan raya dan dimanipulasi sebagai bahan politik oleh sesetengah pihak.
"Sekiranya benar ada usaha mahu mengangkat industri filem tanah air, tumpuan sepatutnya diberi kepada penghasilan karya yang berkualiti, mematuhi prinsip syariah dan sarat dengan nilai mendidik masyarakat.
“Filem seperti Mat Kilau tidak sepatutnya hanya muncul sekali dalam beberapa tahun. Kita perlu memenuhi layar dengan karya-karya yang mendidik, membina budaya serta mampu membentuk jati diri masyarakat,” ujarnya.
0 Comments