Lima LRA di Gua Musang, Kuala Krai akan dinaik taraf

YB Dato’ Dr. Izani Husin,
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM , 21 Julai – Sebanyak lima projek penaiktarafan Loji Rawatan Air (LRA) akan dilaksanakan di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai dalam usaha meningkatkan bekalan air bersih di kawasan luar bandar, kata Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, YB Dato' Dr Izani Husin.

Menurut beliau, projek-projek tersebut dilaksanakan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan pedalaman.

“Di jajahan Kuala Krai, ada satu projek menaik taraf LRA Manik Urai serta sistem agihan Kuala Krai daripada 6.7 juta liter per hari (JLH) kepada 10 JLH. Ketika ini, projek ini masih di peringkat pelantikan perunding dan proses pemilikan tanah. Ia dijangka bermula pada tahun 2028 dan siap pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong, YB Rozi Mohamad, pada Persidangan Kedua bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas di sini, hari ini.

YB Rozi Mohamad,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong

Jelas beliau lagi, di Gua Musang pula, terdapat beberapa projek penaiktarafan dan pembinaan LRA turut dirancang dan sedang dilaksanakan seperti di LRA Limau Kasturi dinaikkan daripada 4 JLH kepada 10 JLH.

Projek tersebut dijangka bermula tahun 2027 dan siap pada tahun 2029. Namun, kawasan berkenaan sering mengalami gangguan bekalan air akibat gangguan bekalan elektrik, yang berpunca daripada haiwan liar seperti kera mengganggu talian elektrik.

Sementara di LRA Paloh pula dinaik taraf daripada 6 JLH kepada 10 JLH yang kini berada di peringkat perancangan awal dan pelantikan perunding.

Manakala LRA Panggung Lalat yang berkapasiti 2 JLH dijadualkan bermula pada tahun 2026 dan siap pada tahun 2028.

Seterusnya LRA Setelu yang berkapasiti 7 JLH dijangka pembinaannya bermula pada tahun 2027 dan siap pada tahun 2029.

LRA Bukit Chupak pula kini dalam proses pembinaan dengan kapasiti 10 JLH dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dan mula beroperasi pada Januari 2026.

"LRA ini dijangka dapat menyelesaikan isu bekalan air di kawasan Bandar Baru dan Bandar Lama Gua Musang," jelasnya.

Menjawab soalan tambahan ADN Tendong mengenai tahap kepatuhan terhadap standard kualiti air terawat di kawasan pedalaman, Dato' Dr. Izani menegaskan bahawa kerajaan negeri bersama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau kualiti air.

“Semua air terawat mesti mematuhi standard air minum yang ditetapkan oleh KKM. Parameter kritikal seperti kekeruhan, baki klorin, bakteria E-coli, logam berat dan sebagainya akan diuji secara berkala. Ujian ini dilaksanakan setiap hari dan juga bulanan oleh Jabatan Bekalan Kualiti AKSB, termasuk di loji-loji mini di kawasan pedalaman,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments