![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 21 Julai – Sejak penubuhan Mawaddah Center pada tahun 2021 hingga Mei 2025, sebanyak 288 daripada 293 kes yang didaftarkan telah berjaya diselesaikan.
Fungsi utama penubuhannya oleh kerajaan negeri adalah sebagai pusat aktiviti keluarga yang menyediakan pelbagai program, khidmat nasihat, bengkel, runding cara dan juga motivasi kepada masyarakat setempat.
Demikian kenyataan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan YB Mohd Asri Mat Daud di Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelimabelas Tahun 2025, hari ini.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil peranan dalam menyelesaikan konflik kekeluargaan yang berlaku, pelbagai inisiatif serta program telah dirancang dan dilaksanakan.
“Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan adalah penubuhan Pusat Khidmat Keluarga Sosial dan Komuniti (PKKSK) yang telah pun ada di setiap jajahan dan pusat ini menjadi sosial center kepada orang ramai untuk mendapat khidmat nasihat, bantuan sosial dan sebagainya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Darul Auni iaitu Rumah Perlindungan Wanita Sinar Harapan yang berfungsi sebagai pusat perlindungan sementara secara percuma kepada wanita yang berhadapan dengan pelbagai bentuk masalah termasuklah mangsa penderaan rumah tangga, mangsa seksual serta kes-kes yang dirujuk di mahkamah.
“Sejak penubuhannya pada tahun 2021 sehingga 2024, seramai 93 orang penghuni telah diberi perlindungan serta rawatan.”
![]() |
YB Hj Mohd Rusli Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu |
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu, YB Tuan Mohd Rusli Abdullah berkenaan usaha atau inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani pelbagai isu yang melibatkan kekeluargaan.
Sementara itu, jelas YB Mohd Asri lagi, pelbagai program turut dilaksanakan oleh kerajaan negeri seumpama program Motivasi Kekeluargaan dan Remaja yang menyasarkan pelajar sekolah menengah, Seminar Parenting, Menjiwai Akhlak Rasulullah S.A.W yang disasarkan kepada penjawat awam dan masyarakat awam, Forum Mahasiswa, Jauhi Gejala Sosial disasarkan kepada mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih dan Program Ceramah Tangani Gejala Sosial kepada sekolah menengah di setiap jajahan.
“Selain itu, program-program yang lain melibatkan masyarakt B40 serta penduduk luar bandar termasuk aktiviti Sambutan Hari Suami Isteri Peringkat Negeri Kelantan, Program Raikan Cinta, Program Bina Keluarga, Program Karnival Keluarga Darulnaim, Sambutan Hari Keluarga Mawaddah, Bengkel Ibubapa Muda di setiap DUN, Seminar Rumah Tangga Berkat, Program Bengkel Pendengar Setia dan lain-lain program,” jelasnya.
0 Comments