Kelantan pastikan setiap pelaburan bawa manfaat kepada rakyat

YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman,
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan

Oleh: Asyura Muhamad

KOTA DARULNAIM, 21 Julai – Kerajaan negeri sentiasa memastikan supaya setiap projek pelaburan yang dibawa masuk ke negeri ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, terutamanya dalam memberi peluang pekerjaan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa syarat dan garis panduan pelaksanaan kepada pelabur, antaranya melalui Pekeliling Pembangunan Wilayah Bilangan 4 Tahun 2019 yang menyediakan insentif kepada pelabur yang melabur di negeri Kelantan.

Kata beliau, antara syarat yang ditetapkan kepada pelabur ialah keutamaan pengisian jawatan bagi peluang pekerjaan yang diwujudkan mestilah diberikan kepada rakyat Kelantan atau penduduk tempatan, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus pengambilan melibatkan semua peringkat, termasuk jawatan pengurusan dan sokongan.

“Selain itu setiap permohonan pelaburan juga perlu disertakan dengan pembentangan terperinci mengenai peluang pekerjaan yang akan diwujudkan untuk penduduk tempatan.”

YB Dato’ Abdul Rahman Yunus,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh

Demikian menurut YB Dato’ Md Anizam ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh, YB Dato’ Abdul Rahman Yunus di Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelimabelas Tahun 2025.

Exco Pelaburan itu juga menegaskan bahawa, kerajaan negeri sentiasa menggesa dan menggalakkan para pelabur untuk mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam penawaran pekerjaan sebagai contoh, di Pengkalan Chepa, kilang Ain Medicare Sendirian Berhad mempunyai bilangan pekerja 1,400 orang (100 peratus tempatan), di Sepatu Timur 50 pekerja (100 peratus tempatan), Rohm Wako 2,300 pekerja (98 peratus tempatan).

“Manakala di Tanah Merah pula, Kong Joo Timur Sendirian Berhad mempunyai 71 pekerja (83 peratus tempatan, di Kuala Krai Batai Wood Industry (M) Sendirian Berhad, 245 pekerja (90 peratus tempatan), di Bachok Erawan LMW Industries Sendirian Berhad mempunyai 350 pekerja (85peratus tempatan) dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments