Menteri Besar hargai sumbangan GLC bantu rakyat Kelantan


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan amat menghargai peranan strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bukan sahaja menjana keuntungan, bahkan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi serta pelaksana tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang signifikan untuk rakyat negeri ini.

Beliau berkata, meskipun berdepan cabaran ekonomi termasuk perang tarif global, GLC negeri seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tetap memainkan peranan penting mendukung kesejahteraan rakyat melalui projek pembangunan, program bantuan bencana, latihan kemahiran dan skim perumahan mampu milik.


“Kerajaan negeri merangka beberapa langkah strategik agar GLC kekal berdaya saing, antaranya meneroka pasaran luar, memperkukuh tadbir urus melalui pemantauan KPI, meningkatkan audit operasi secara berkala serta meneliti peluang perniagaan baharu agar tidak terikat pada satu kuasa ekonomi semata-mata,” katanya.

Menurutnya, dasar perkongsian pintar dengan syarikat bukan tempatan yang memiliki modal besar juga diamalkan bagi membolehkan projek berimpak tinggi dapat dilaksanakan dan hasilnya dinikmati terus oleh rakyat.

“GLC juga menjadi barisan hadapan ketika rakyat berdepan musibah seperti banjir, selain menyumbang sumbangan pendidikan untuk anak-anak cemerlang dan keluarga berpendapatan rendah,” jelasnya.

Menurutnya lagi, model CSR strategik GLC negeri turut difokuskan kepada sektor hartanah melalui pembinaan rumah mampu milik, penyediaan peluang pekerjaan serta program keusahawanan khas untuk belia dan wanita.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Galas YB Mohd Syahbudin Hashim, pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025, di Kota Darulnaim, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri komited memastikan setiap keuntungan dan keberhasilan GLC akan terus diterjemahkan sebagai pulangan sosial demi kesejahteraan seluruh rakyat Kelantan.

Post a Comment

0 Comments